utama

[UPDATE] Identiti mangsa kemalangan dikenal pasti [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

IDENTITI tujuh individu yang terbabit kemalangan di Kilometer 265.6, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Bandar Ainsdale, hari ini sudah dikenal pasti, termasuk dua mangsa yang maut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, kereta itu dipandu Nurulhuda Ramli, 36, dari Flat Sri Selangor, Kuala Lumpur bersama empat anak, Nor Iman Danish Abdul Azim, 5; Mohd Amirul Danish, 9; Muhamad Hakimi, 12; dan Dewi Aleesya Aulia, tujuh bulan.

Katanya, turut mengikuti perjalanan itu adalah dua kenalan, Wan Nur Syazliza Wan Nasharuddin, 19, dan Puteri Rufaidah Zahlan, 17, masing-masing dari Puchong, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur.

Mereka dipercayai dalam perjalanan ke Port Dickson untuk bercuti.

Ibrahim berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Nurulhuda hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan sebelah kanan sebelum melintang di tengah jalan.

"Datang sebuah bas dari arah belakang tidak sempat berhenti melanggar kereta berkenaan. Penumpang hadapan, Wan Nur Syazliza yang dipercayai memangku Nor Iman Danish tercampak keluar kenderaan menyebabkan kedua-dua maut di lokasi," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, lima lagi individu lain dalam kereta itu parah manakala pemandu bas, Poon Fook Lai, 56 bersama 28 penumpang tidak cedera. Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 10:53am
d