utama

Simpati melimpah

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, tadi (semalam) ada beberapa orang hubungi saya dan tawarkan kerja kilang untuk anak sulung.

“Insya-Allah, anak lelaki saya itu mula bekerja Jumaat ini.”

Demikian kegembiraan dikongsi Idayu Mohamad, 44, ibu tunggal yang menderita kanser rahim tahap empat selepas kisah penderitaannya itu disiarkan muka depan Harian Metro, semalam.

Menurutnya, telefon bimbitnya semalam tidak putus-putus menerima panggilan dan pesanan WhatsApp daripada kenalan, orang ramai, malah pihak berkuasa yang mahu membantunya.

“Sebelum ini, memang anak saya bekerja, tetapi berhenti untuk menguruskan keperluan saya dan adiknya, manakala anak perempuan berusia 18 tahun masih mencari pekerjaan sesuai kerana menghidap sakit lelah.

“Ada juga yang tanya sebab anak lelaki saya tidak bekerja, sedangkan Muhammad Akmal Daniel, 19, berhenti kerana perlu jaga saya dan dua adiknya termasuk yang bongsu berusia 10 tahun yang menghidap masalah hiperaktif,” katanya.

Muka depan Harian Metro, semalam mendedahkan kisah Idayu yang tabah menyara tiga anaknya berusia 19, 18, dan 10 tahun yang masing-masing menghidap sakit jantung, lelah serta hiperaktif.

Ketika pesakit kanser tahap empat lain terlantar akibat kesan radioterapi dan kemoterapi, ibu tunggal itu terus menggagahkan diri bangun setiap jam 5 pagi untuk memasak nasi lemak dan kuih-muih untuk jualan di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan.

Biarpun doktor menjangkakan hayatnya hanya lima tahun lagi, pesakit kanser rahim tahap empat yang kini merebak ke payudara dan perut itu sentiasa berdoa supaya tidak diambil nyawa dalam waktu terdekat.

Idayu berkata, selepas menerima pelbagai tawaran kerja sejak kisahnya disiarkan semalam, Muhammad Akmal yang juga mempunyai masalah jantung lebih berminat bekerja kilang walaupun ada menerima tawaran kerja di kedai makan.

“Saya harap orang ramai doakan saya sihat supaya anak sulung dapat bekerja untuk membantu keluarga.

“Saya percaya pada doa untuk membuka pintu rezeki bukan hanya harap pada simpati. Doakan saya panjang umur untuksempurnakan tanggungjawab terhadap tiga anak,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2019 @ 10:24am
d