utama

Terpelanting kena tampar

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nurul Hidayah Bahaudin

KUALA LUMPUR: Ditampar sehingga tubuh berpusing dan terpelanting. Itu nasib malang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang didera teruk ibu kandungnya.

Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 1 Februari lalu sempat dirakam ahli keluarga terdekat mangsa sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Setapak di sini.

Difahamkan, laporan polis dibuat lelaki berusia 20-an selepas menerima video kejadian itu yang berlaku di rumah mangsa di Jalan Genting Klang, di sini.

Katanya, pemuda terbabit menerima rakaman video itu melalui pesanan WhatsApp yang memaparkan penderaan fizikal dialami mangsa.

“Berdasarkan rakaman video itu, mangsa yang duduk di atas lantai dipukul berulang kali pada tubuhnya menggunakan senduk.

“Tidak cukup dengan itu, mangsa turut ditampar berulang kali di pipi kanan. Malah, video turut menunjukkan mangsa ditempeleng sekuat hati sehingga berpusing dan tergolek. Suspek dipercayai ibu mangsa langsung tidak mempunyai rasa simpati apabila memukul mangsa yang hanya mampu menangis ketakutan,” katanya.

Sumber itu berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan di hidung, luka di kepala dan bengkak pada mata.

“Difahamkan mangsa kebiasaannya dihantar ke rumah pengasuh setiap petang hingga awal pagi apabila ibunya keluar bekerja di restoran berhampiran.

“Kejadian seumpama itu sudah berlaku berulang kali namun ahli keluarga mangsa tidak berani bertindak atau membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi di sini, semalam, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

“Siasatan mendapati ibu kanak-kanak itu sudah menghilangkan diri selepas laporan polis dibuat.

“Buat masa ini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kes itu.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini giat dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 7:28am
d