utama

'Jumpa lagi esok...' [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“JUMPA lagi esok,” itu kata-kata terakhir Muhammad Adli Mohd Firdaus, 6 dan adik perempuannya, Nur Dalili Mohd Firdaus, 4, kepada nenek mereka sebelum maut bersama ibu bapa dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Kluang - Kota Tinggi, di Kota Tinggi, malam tadi.

Mangsa, Mohd Firdaus Januri, 34 dan isterinya Norlia Osman, 33, bersama dua anak mereka, Muhammad Adli Mohd dan Nur Dalili, maut di tempat kejadian.

Nenek mereka, Rosina Mohd Dimyati, 58, yang juga ibu kepada Mohd Firdaus berkata, dia tidak menyangka kepulangan empat beranak ke Kuarters Guru Kota Tinggi berakhir tragedi.

Katanya, empat beranak berkenaan pulang ke rumah keluarganya di Kampung Bentung, Kluang, selama dua hari sempena Tahun Baru Cina, selain membersihkan rumah baru dibelinya di Taman Seri Kluang.

“Mereka tidur satu malam di rumah baru dan satu malam di rumah keluarga kami.

“Sepanjang dua hari di Kluang, mereka sekeluarga bersungguh-sungguh membersihkan rumah, sampaikan keesokan harinya pada Tahun Baru Cina kedua, mereka sekali lagi ke rumah itu,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Kota Tinggi, hari ini.

Menurutnya, ketika bermalam di rumah keluarganya, empat beranak berkenaan kelihatan seperti biasa dan tiada sebarang perubahan.

“Memang mak cik tak nampak perubahan pada mereka empat beranak, kecuali ketika mereka hendak pulang ke rumah malam tadi,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia nampak kelainan pada dua cucunya ketika ingin pulang ke rumah.

“Sudah menjadi kebiasaan, kalau nak balik, kedua-dua cucu ini akan memeluk saya dan mesra serta mengungkapkan perkataan sayang nenek.

“Saya pun cium mereka berdua, sebelum kedua-duanya masuk ke dalam kereta untuk pulang ke rumah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dua cucunya mengungkapkan mahu bertemunya esok, sedangkan perkataan itu jarang dituturkan mereka.

“Biasanya mereka berdua (cucu) hanya mengungkapkan perkataan ‘jumpa lagi’ dan memberi salam, tetapi kali ini dia sebut ‘jumpa lagi esok’.

“Mereka berdua juga melambai-lambai tangan sehingga kereta itu hilang dari pandangan,” katanya.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu sebaik dihubungi rakan suaminya selepas menunaikan solat Isyak.

“Saya dapat tahu pun ketika nak tidur dan kebetulan saya lewat solat sebelum menerima panggilan telefon.

“Saya dan seorang anak bimbang untuk angkat telefon dan masing-masing lihat antara satu sama lain kerana masing-masing takut mengangkatnya,” katanya.

Dia bagaimanapun dikejutkan kematian keluarga anaknya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Saya macam tidak percaya kemalangan itu membabitkan anak, menantu dan cucu dan tidak percaya selagi tidak melihat di depan mata.

“Tapi sebaik tiba di hospital, memang empat mayat itu adalah mereka semua. Kemalangan itu sangat tragis dan selalunya saya dengar cerita orang, tetapi kali ini saya sendiri hilang ahli keluarga dalam sekelip mata,” katanya.

Sementara itu kakak sulung Allahyarham Mohd Firdaus, Nor Azrina Januri, 37, berkata perasaannya sering berdebar-debar sejak Disember lalu.

“Sebelum ini memang jantung saya sering berdebar. Saya sering tidak sedap hati dan perasaan itu akan datang dan pergi,” katanya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentung Kluang selepas Zuhur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, dalam kejadian 12.33 tengah malam tadi, kemalangan maut berkenaan membabitkan dua kereta dengan sebuah lori.

Katanya, dalam kejadian terbabit, empat beranak yang menaiki kereta jenis Honda Civic maut di tempat kejadian, manakala pemandu sebuah lagi kereta jenis Proton Saga hanya luka.

Pemandu lori berusia 30-an pula akan direman untuk saringan air kencing dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Berita berkaitan

Empat beranak ajal bersama

[UPDATE] 20 minit keluarkan pemandu tersepit

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 12:11pm
d