utama

Fendy tepis stigma

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SELEPAS drama Mr Grey, sekali lagi nama pelakon Fendy Bakry menjadi sebutan menerusi drama Kanku Kejar Cinta Kamu (KKCK) yang ditayangkan di saluran Astro Ria baru-baru ini.

Populariti yang diraih melonjakkan nama Fendy, 31, atau nama sebenarnya Mohd Affandi Nor Bakri hingga menjadi rebutan stesen televisyen dan penerbit drama tempatan.

Malah, sambutan diterima Fendy itu sekali gus menepis stigma segelintir peminat drama Melayu yang sebelum ini lebih cenderung menerima hero berwajah‚‘jambu‚’ dan berkulit cerah.

Siapa sangka Fendy yang berkulit hitam manis mampu menambat hati peminat bukan saja dengan personaliti dimiliki tetapi berbekalkan bakat lakonan yang ada.

“Alhamdulillah, inilah yang dikatakan rezeki. Mungkin pihak stesen TV dan penerbitan inginkan kelainan. Barangkali mereka tak mahu orang sama jadi hero. Pada masa sama, mungkin juga pelakon lelaki berkulit gelap tak ramai yang boleh dipilih untuk melakonkan watak utama.

“Diakui pada awal kemunculan saya kecewa kerana tak pernah dipilih menjadi hero. Namun, saya tak pernah putus asa dengan memberikan lakonan terbaik. Alhamdulillah, akhirnya usaha saya membuahkan hasil.

“Walaupun tak kacak macam orang lain, saya cuba buktikan dengan cara lain. Saya bersyukur dianugerahkan bakat ini. Apa yang penting, jangan pernah mengalah. Saya sentiasa percaya rezeki Allah SWT. Cuma lambat atau cepat saja‚” katanya.

Bagaimanapun, Fendy yang juga bekas peserta Hero Remaja 2012 bersama Fattah Amin, Saharul Ridzwan dan Syafiq Kyle tidak mahu menjadikan kelebihan dimiliki untuk mendabik dada.

“Tidak dinafikan, masih ada juga yang memilih hero berwajah jambu. Sebenarnya, ia berbalik kepada naskhah dan kesesuaian watak.

“Macam saya, setiap kali diberikan tawaran menjayakan apa saja watak, saya akan buat kajian dan berikan sepenuh komitmen. Saya mahu memanfaatkan setiap peluang diberikan. Lagipun, ini amanah dan tanggungjawab.

“Saya yakin, jika watak berjaya disampaikan pasti meninggalkan kesan pada penonton. Sebagai pelakon, ia sedikit sebanyak akan rasa puas,” katanya.

Menurut Fendy, dia ingin mempelbagaikan watak kerana enggan dilabel pelakon stereotaip.

“Saya sentiasa mahu mencari kelainan dan cuba berikan yang lebih baik. Jadi, saya berharap dapat lebih banyak tawaran dengan kepelbagaian watak. Saya tak nak dicop pelakon yang suka melakonkan watak sama.

“Kalau diberi pilihan, saya nak sangat melakonkan watak yang ada pelbagai karakter dalam satu naskhah seperti yang pernah dilakonkan Shukri Yahaya.

“Bagi saya, melakonkan watak pelbagai ini boleh mencabar diri. Kita juga boleh mengukur sejauh mana kemampuan dalam bidang ini. Daripada situ kita dapat memperbaiki kekurangan‚” katanya.

Fendy yang berasal dari Beseri, Perlis mengakui tidak mahu terlalu mengikut kehendak penonton dalam menjayakan sesuatu watak.

“Saya tahu, peminat kalau suka kita melakonkan sesuatu watak, mereka nak kita berlakon watak sama saja. Sebagai pelakon saya cuba elak perkara ini. Tanggungjawab saya adalah menjayakan naskhah.

“Peminat sepatutnya memberikan sokongan dan terima kepelbagaian watak saya selepas ini,” katanya.

Sudah ada kekasih

Beralih sisi peribadi, Fendy berkata hatinya sudah dimiliki sejak beberapa bulan lalu. Bagaimanapun, Fendy belum bersedia berkongsi lanjut identiti kekasihnya kerana hubungan mereka masih baru.

Menurut Fendy, kesibukan kerjaya tidak menghalang dirinya meluangkan masa dengan kekasih.

“Dia tahu saya pelakon, jadi dia sangat memahami. Kalau tak, mesti dia terkejut terutama dalam soal masa. Malah, ini yang saya utamakan dalam perhubungan iaitu persefahaman.

“Nak bercinta dengan saya, kena bercinta dengan kerjaya saya juga. Jadi, apabila berkahwin dia sudah boleh terima. Saya bukannya nak pentingkan diri tetapi memang ini yang sepatutnya. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar‚” katanya.

Jadual padat

Perkembangan lain, Fendy berkongsi jadual kerjanya penuh sehingga sambutan Aidilfitri nanti.

“Alhamdulillah, saya baru saja selesai menjalani penggambaran telefilem Lelaki Kacak Dari Dhaka. Selepas ini, saya akan terbabit dalam drama yang akan disiarkan di Astro Oasis pula.

“Selain itu, saya juga mendapat tawaran daripada Datuk Ziela Jalil bagi slot Samarinda dan Sheila Rusly. Insya-Allah, saya akan bekerjasama dengan mereka.

“Paling penting, apa saya nak sampaikan adalah saya tidak terikat dengan satu stesen TV saja. Saya terbuka dan tak nak orang salah faham. Di mana ada rezeki, saya ambil,” katanya.

Pada masa sama, Fendy juga bakal mengusahakan perniagaan kurta dan baju Melayu sempena sambutan Aidilfitri.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 6:30am
d