utama

Bergeliga hafal al-Quran

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

KOTA BHARU: Usianya masih muda, namun remaja ini dikurniakan keistimewaan apabila bukan saja berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran, malah mampu mengingati satu persatu terjemahan dan nombor ayat dibacanya.

Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ) Pulai Chondong, Abdul Rauf Sapuan, 16, yang khatam ketika berusia tujuh tahun, mula menghafal ketika berada di tingkatan satu dengan mengambil masa dua tahun tujuh bulan bagi mengingati semua juzuk.

Menurutnya, sebelum ini dia mengambil masa 15 minit untuk menghafal satu muka surat surah al-Quran, tetapi kini masa yang diambil hanya empat hingga lapan minit.

“Bagi memudahkan saya mengingati bacaan setiap surah, saya memejamkan mata setiap kali menghafal dan membayangkan al-Quran berada di hadapan mata,” katanya.

Abdul Rauf berkata, sebelum ini dia pernah menghafal sebelum waktu Subuh dan mengambil masa empat minit untuk mengingati satu muka surat surah di dalam al-Quran.

“Selain itu, sudah menjadi rutin harian untuk mengambil masa lebih kurang 10 minit selepas solat Subuh sebelum ke sekolah untuk menghafal al-Quran,” katanya.

Selain itu katanya, dia turut mengikuti kelas hafalan bersama rakan lain selepas Maghrib bermula jam 8 hingga 10 malam ketika di asrama.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, bergelar sebagai hafiz menjadi idaman setiap umat Islam dan ia tidak sukar apabila mempunyai perasaan cinta kepada al-Quran kerana ia memberi kekuatan untuk menghafalnya.

“Sejak berusia lima tahun, saya sudah memasang angan-angan bergelar hafiz dan perasaan itu semakin kuat setiap kali mendengar imam Tarawih mengalunkan ayat suci al-Quran ketika mengimamkan solat di masjid.

“Bagi meneruskan cita-cita ini dan mendalami isi kandungan al-Quran, saya berhasrat menyambung pengajian dalam bidang al-Quran dan Qiraati di Mesir,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Dr Rosnani Zakaria, 45, yang juga Pensyarah Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian berkata, amalan membaca al-Quran dididik sejak anaknya kecil.

“Saya selalu berpesan kepada anak dan tanam di dalam jiwa mereka, kegelapan dalam kubur hanya boleh diterangi dengan cahaya iaitu al-Quran,” katanya.

Dr Rosnani berkata, dia dan suami, Sapuan Yusoff, 44, mahu semua anak berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.

“Alhamdulilah, baru-baru ini Ahmad Rauf dinobatkan Tokoh Tahfiz 2018 dan itu adalah antara hadiah bermakna kepada kami sekeluarga,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 7:47am
d