utama

Memori baju sedondon

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KOTA TINGGI: “Dia nak sangat kami sekeluarga sedondon berbaju hijau emerald tahun ini,” kata Norrul Osman, 36, kakak kepada Allahyarham, Norlia, 33, yang maut dalam kemalangan meragut empat beranak di Kilometer 55, Jalan Kluang-Kota Tinggi, malam, semalam.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim, Melaka itu berkata, arwah yang juga anak keempat daripada enam beradik bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kewangan Unit Pembangunan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi teruja menyambut Aidilfitri tahun ini.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan kepada mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri secara sedondon setiap dua tahun.

Bagaimanapun, katanya arwah adiknya itu antara individu pertama yang mencadangkan warna tema Aidilfitri tahun ini menerusi kumpulan WhatsApp keluarga, Selasa lalu.

“Perbualan kami adik beradik, Selasa lalu, hanya membabitkan baju raya dan dia beriya-iya cuba menyakinkan kami semua memakai baju hijau emerald. Ia sekadar cadangan awal dan ketika itu, kami masih belum putuskan lagi.

“Tahun ini, kami sepatutnya menyambut Aidilfitri bersama adik-beradik di rumah emak di FELDA Loke Heng, memandangkan tahun lalu masing-masing menyambut di rumah mentua,” katanya.

Norrul yang juga anak kedua berkata, pada mulanya mereka keberatan memilih warna berkenaan kerana ia terlalu kerap digayakan orang ramai setiap Aidilfitri.

Katanya, arwah adiknya itu seorang yang baik bahkan kerap menjenguk ibu yang berstatus ibu tunggal dan kali terakhir mereka bertemu pada Aidilfitri lalu.

Sementara itu, adik bongsu Mohd Firdaus, Nor Aini Januri, 29, yang juga jururawat Hospital Kluang berkata, ibunya Rosina Mohd Dimyati, 58, sempat memasak juadah rendang daging ketika empat sekeluarga itu pulang bercuti ke rumah keluarga di Kampung Bentung, Kluang.

“Kali ini, ibu masak rendang daging untuk abang dan selalunya hidangan itu dimasak pada Hari Raya saja.

“Kebetulan kami ada daging di rumah dan ibu masak untuk abang,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, abangnya yang juga anak lelaki tunggal adalah anak kedua daripada tiga beradik dan anak kesayangan ibunya.

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 7:56am
d