utama

Pandai cakap lagi mahal

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

SERI KEMBANGAN: Bercakap dialek tempatan untuk mendapatkan harga langganan tinggi antara taktik digunakan pelacur warga asing yang didedahkan dalam serbuan Ops Noda di sebuah hotel di bandar ini, jam 7.30 malam kelmarin.

Serbuan dijalankan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Dalam serbuan itu, 11 individu membabitkan lapan wanita Vietnam dan Indonesia serta tiga lelaki iaitu pekerja selain penjaga premis berkenaan berusia 23 tahun hingga 33 tahun ditahan.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, lazimnya pelacur tempatan mendapat bayaran lebih tinggi berbanding pelacur luar.

“Untuk warga tempatan, biasanya dikenakan bayaran sehingga RM300 seorang berbanding pelacur luar yang hanya mendapat bayaran RM80 hingga RM180.

“Jadi, pelacur warga asing ini berusaha bertutur dialek tempatan. Kami percaya, mereka mampu memperoleh sehingga RM1,000 sehari, bergantung kepada bilangan pelanggan.

“Kami turut merampas RM3,315, 33 kondom, tiga tiub pelincir selain tiga alat kawalan jauh,” katanya, semalam.

Menurut beliau, tiga lelaki tempatan berusia 30-an hingga 50-an yang membuat bayaran tidak sempat melanggan pelacur terbabit apabila premis itu tiba-tiba diserbu.

Katanya, sindiket yang menguruskan kumpulan pelacur itu mencari pelanggan melalui aplikasi WeChat.

“Sindiket melakukan tawar-menawar harga sehingga pelanggan setuju sebelum menyerahkan gambar untuk tatapan,” katanya.

Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 9:26am
d