utama

Sudah pulih

Oleh Agensi

MOSCOW: Seorang lelaki yang pernah menggemparkan Russia kerana mencuri 29 mayat budak perempuan sebelum menghiaskan mereka dengan baju, kasut dan alat solek dilaporkan akan dibebaskan dari sebuah hospital sakit jiwa.

Anatoly Moskvin, 52, yang berasal dari Nizhny Novgorod mencuri dan mengawet mayat berkenaan yang dijadikan koleksi kesayangan di bilik tidurnya selama beberapa tahun.

Pakar sakit jiwa yakin Moskvin sudah pulih dan mencadangkan rawatan pesakit luar untuk lelaki itu tetapi segera menarik balik keputusan itu selepas dibantah banyak pihak.

Bagaimanapun, tiada arahan penahanan baharu dari mahkamah dan secara teknikalnya Moskvin boleh bebas malah lelaki itu juga merancang untuk berpindah ke Moscow.

Arahan mahkamah untuk membolehkan dia ditahan di hospital tamat pada Disember lalu, sekali gus mencetuskan kemarahan keluarga mayat budak perempuan yang diculiknya.

Sebelum ditangkap pada 2011, Moskvin memakaikan baju, stoking dan kasut pada mayat yang dicurinya supaya kelihatan seperti anak patung, malah dia turut memakaikan gincu serta solekan pada muka mangsa yang berusia tiga hingga 12 tahun.

Moskvin juga memasukkan kotak muzik dalam badan mayat itu dan menandakan tarikh lahir setiap mereka serta menyambutnya setiap tahun dengan mengadakan parti di bilik tidurnya.

Ketika disoal siasat Moskvin berkata kepada polis supaya tidak menanam mayat gadis terlalu dalam kerana dia mahu menggalinya semula apabila dia dibebaskan kelak.

Moskvin juga memberitahu ibu bapa mangsanya, dia mengambil mayat itu kerana mereka meninggalkannya kesejukan di dalam tanah.

Natalia Chardymova, 46, antara keluarga mangsa yang membantah pembebasan Moskvin.

Mayat anak perempuannya, Olga yang berusia 10 tahun antara 29 jasad yang digali Moskvin di sebuah kubur selepas kanak-kanak itu mati dibunuh pada 2002.

Moskvin menyimpan mayat budak perempuan itu yang diawet selama sembilan tahun sementara Natalia meratapi dan menabur bunga di kubur Olga hampir setiap bulan tanpa mengetahui jasad mangsa tiada di situ.

“Dia tidak boleh dirawat. Sekiranya dibebaskan dia akan kembali kepada tabiat asalnya yang pernah dia berjanji untuk lakukan lagi,” katanya.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 6:31am
d