utama

Elvina tak serah sepenuhnya pada pengasuh

Oleh Syafil Syazwan Jefri

KEHIDUPAN sebagai selebriti ternyata punya cabaran tersendiri. Lebih mencabar lagi apabila gelaran itu perlu bergerak seiring dengan tugas sebagai ibu.

Bagi pelakon, Datin Elvina Mohamad, kehadiran cahaya mata pertama hasil perkahwinan dengan Datuk Haniff Borhan adalah anugerah terhebat buat dirinya.

Disebabkan kasih sayang yang sangat kuat kepada putera yang diberi nama Karl Mateen itu, Elvina lebih selesa untuk menjaga sendiri anaknya.

“Saya ada pengasuh yang akan menjaga Karl, namun sejujurnya lebih selesa untuk menjaga anak dengan tangan sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis akikah dan kesyukuran Karl Mateen di The Roof Garden Hotel, Bukit Jelutong, Jumaat lalu.

Katanya, dia sendiri tidak mahu menyerahkan 100 peratus tanggungjawab kepada pengasuh.

“Cara kita menjaga anak dengan orang lain menjaga anak kita, tentunya berbeza. Jadi, saya tak mahu serahkan 100 peratus hal anak kepada pengasuh,” katanya.

Menurut pelakon berusia 24 tahun itu lagi, secara tak langsung gelaran sebagai ibu juga menjadikannya manusia yang lebih bertanggungjawab.

“Apabila dah menjadi ibu, rasa tanggungjawab jadi lebih kuat. Setiap apa yang dilakukan, saya akan fikirkan anak terlebih dulu,” katanya.

Walaupun sentiasa mahu dekat dengan anaknya, Elvina juga tidak menafikan dia perlu kembali bekerja.

“Mahu atau tidak, saya tak boleh juga terlalu manjakan dia sampai setiap masa nak berkepit. Nanti, susah pula untuk saya keluar bekerja,” katanya.

Menjelang Mac, Elvina akan kembali beraksi di depan kamera untuk meneruskan kerja lakonannya.

“Kalau sebelum ini, saya boleh saja terima tawaran untuk drama yang mengambil masa panjang. Sekarang dah berbeza.

“Kalau boleh, saya akan cuba untuk pilih drama yang tidak memakan masa terlalu lama. Bukan apa. Sekurang-kurangnya, saya masih dapat bahagikan masa untuk kerjaya dan anak,” katanya.

SELEPAS INSIDEN ORANG KETIGA

Disember lalu, Elvina mengejutkan pengikut di laman Instagramnya apabila memuat naik beberapa luahan isi hati di Instagram Story.

Dalam muat naik itu, dia meluahkan mengenai kehadiran orang ketiga dalam hubungan rumah tangga mereka sehingga menyebabkan pertelingkahan.

Namun, itu tidak menggoyahkan hubungannya dengan suami, sebaliknya mengukuhkan rasa cinta antara mereka.

“Saya sudah memaafkan pihak sana (wanita yang menjadi orang ketiga) dan tidak mahu memanjangkan isu ini.

“Yang pasti, hubungan saya dengan suami semakin erat dan kami juga lebih mengenali antara satu sama lain selepas apa yang berlaku,” katanya.

Menurut pelakon drama bersiri Isteri Untuk Diiktiraf itu, dia dan suami juga lebih memberi fokus kepada rumah tangga terutama anak.

“Dengan adanya cahaya mata ini, kehidupan rumah tangga menjadi lebih ceria dan kami berdua pun kini ada tanggungjawab sebagai ibu bapa,” katanya.

Terbaru, Elvina akan kembali berlakon pada Mac depan menerusi drama bersiri Geng Mak Mak bergandingan dengan beberapa pelakon lain antaranya Sazzy Falak dan Fatin Afifah.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 5:30am
d