utama

Kecut tengok JPJ

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEREMBAN: Tindakan seorang lelaki memecut laju motosikal bagi mengelak sekatan jalan raya di Plaza Tol Senawang di sini, membawa padah apabila dia cedera selepas merempuh papan tanda sekatan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, lelaki berusia 34 tahun menunggang motosikal Honda C70 cedera pada muka akibat rempuhan itu.

Tindakan agresif penunggang terbabit bagi mengelak ditahan anggota penguat kuasa kerana dipercayai membawa air ketum selain cukai jalannya tamat tempoh.

Difahamkan, lelaki itu dari arah Melaka dan masuk di Plaza Tol Senawang menggunakan laluan kereta, namun dia panik sebaik menyedari ada sekatan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Zamakhshari Hanipah berkata, operasi khas motosikal itu dijalankan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, selama empat jam bermula 8 malam itu dijalankan JPJ dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Pemeriksaan terhadap lelaki itu mendapati cukai jalan motosikalnya tamat tempoh dan kenderaannya juga tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Kita mengeluarkan saman bagi kesalahan terbabit selain akan turut mengambil tindakan atas kesalahan merempuh sekatan dan tidak berhenti serta-merta ketika sekatan,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu, malam tadi.

Zamakhshari berkata, pihaknya memeriksa 2,274 motosikal dengan 928 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi khas motosikal bermula 2 Februari sehingga malam tadi.

Selain itu, katanya, sebanyak 6,281 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 1,419 kenderaan dikenakan tindakan dengan 2,428 notis dikeluarkan dalam Op Tahun Baharu Cina yang dilakukan bermula 29 Januari sehingga malam tadi.

Beliau berkata, JPJ mengenal pasti antara kesalahan utama dilakukan pemilik kenderaan ialah tiada lesen memandu dan pihaknya memandang serius kesalahan itu serta akan menjalankan pemeriksaan berterusan.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 7:55am
d