utama

'Terima kasih tularkan cendol durian saya'

Oleh Nur Saliawati Salberi

PEMILIK Raja Cendol Taming Sari, mahu menjejak pemilik akaun Facebook yang dipercayai bertindak memuat naik resit bayaran ke laman sosial sehingga menjadi tular.

Pemiliknya Muhammad Ariff Qayyum Mohd Zambri, 25, berkata, pihaknya mencari individu berkenaan untuk mengucapkan terima kasih selain bercadang memberi ganjaran kepadanya.

Difahamkan, sebelum kejadian individu berkenaan singgah makan cendol sebelum memuat naik resit bayaran yang tertera harga dikenakan.

Bagaimanapun, gambar itu kemudian tular dan terdapat pengguna laman sosial yang bertindak mengatakan cendol durian Musang King itu dicaj pada harga tidak munasabah.

“Saya amat berharap agar individu itu dapat tampil dan berjumpa kami.

“Selain itu diharap dia membawa sekali resit pembelian asal sebagai bukti dan kami akan memberinya ganjaran cendol durian Musang King percuma selama setahun,” katanya, ketika ditemui digerainya di Menara Taming Sari, Melaka, hari ini.

Menurut pengusaha muda itu, selepas kejadian itu tular dia bersama pekerjanya tidak menang tangan melayan pelanggan di gerainya untuk menikmati cendol durian Musang King.

“Penangan penularan itu mujur kami tidak terputus bekalan durian Musang King dan terpaksa mendapatkan bekalan tambahan.

“Malah hasil jualan turut meningkat kepada dua kali ganda, disebabkan itu kami ingin berjumpa individu berkenaan untuk berterima kasih,” katanya.

Sementara itu, pengunjung Yul Hendri Nadzir, 54, dari Pulau Pinang berkata, dia bersama keluarga ke Melaka semata-mata untuk mencuba sendiri cendol yang hangat diperkatakan itu.

“Selepas beberapa hari bersabar akhirnya saya dapat rasai sendiri cendol durian Musang King ini.

“Ternyata memang berbaloi dan harga yang dikenakan juga amat berpatutan,” katanya.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan, pemilik Raja Cendol Taming Sari memaklumkan dia tidak tahu niat individu yang mendakwa premisnya mengenakan harga terlampau.

Menurut anak muda itu, dia menyedari harga cendol dari premisnya tular dan didakwa mahal sejak Sabtu selepas menerima pesanan dari WhatsApp.

Katanya, dia menganggap insiden yang berlaku ini sesuatu yang positif kerana harga yang ditetapkan adalah berpatutan.

“Kepada pelanggan yang sudah biasa dengan harga durian mereka tidak akan pertikaikan lagi paras harga yang sudah ditetapkan kerana mereka faham,” katanya.

Berita berkaitan

Tekak nak cendol sedap tapi... [METROTV]

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 6:39pm
d