utama

'Saya nampak anggota bomba sudah terduduk'

Oleh Murni Wan Omar; Syah Rul Aswari Abdullah dan Suraya Roslan

SEORANG saksi awam memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, dia ternampak seorang anggota bomba duduk dalam keadaan melunjur dan menahan kesakitan dalam insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Amirrul Adli M Yussli, 26, yang juga pelatih kru kabin AirAsia berkata, anggota berkenaan berbaju-T dan berseluar celoreng dan dilihat memeluk badannya.

Saksi keempat inkues itu berkata, ia berlaku selepas jentera Fire Rescue Team (FRT) mengundur dan melanggar bahagian depan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

Pada masa sama katanya, ada beberapa lelaki mengusung anggota bomba ke arah keretanya yang menjadi beberapa kereta yang turut dilanggar oleh jentera FRT ketika kenderaan itu mengundur di lokasi kejadian.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin pada hari ketiga inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

FATEN: Apa kamu nampak?

AMIRRUL: Saya nampak orang berjalan. Saya nampak seorang anggota bomba di bahu kiri jalan sudah terduduk.

FATEN: Terduduk macam mana?

AMIRRUL: Kaki melunjur dan memeluk badan.

FATEN: Tangan dia macam mana?

AMIRRUL: Peluk badan dalam keadaan sakit.

Saksi sama berkata, ketika itu dia hanya fokus kepada keadaan keretanya yang mengalami kerosakan akibat dilanggar jentera FRT.

FATEN: Jadi, semasa mereka datang dan mengangkat anggota bomba itu?

AMIRRUL: Saya dengar mereka kata dia dah nak pengsan.

FATEN: Bomba itu, ada kamu nampak keadaannya?

AMIRRUL: Saya tengok macam dia dah nak pengsan.

Amirrul Adli turut berkata, dia ada bertanyakan kepada orang awam apa yang berlaku kepada anggota itu dan ada orang tidak dikenali memberitahu: “Dia kena bantai lah, apa lagi.”

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Insitut Jantung Negara (IJN).

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 2:23pm
    d