utama

Hadiah restoran untuk bahagiakan ibu bapa

Oleh Norhayati Nordin

“SEBAGAI ibu bapanya, saya bersama suami sangat berterima kasih kepada Aiman kerana selalu berkongsi rezeki serta membahagiakan kami sekeluarga.

“Jauh dari lubuk hati paling dalam, kami juga sebenarnya tidak pernah pun meminta-minta dia supaya membalas segala jasa selama ini. Saya bersyukur dikurniakan Allah SWT seorang anak yang baik dan sangat bertanggungjawab kepada keluarga,” kata ibu Aiman Tino, Hazelina Mat Jali, 43, mengenai anaknya yang menghadiahkan restoran buat ibu bapanya sebagai persediaan pelaburan untuk masa depan.

Hazelina berkata, dia sangat terharu dengan tindakan Aiman yang juga anak keempatnya yang sentiasa mengutamakan kebahagiaan keluarga.

Ia juga restoran kedua dihadiahkan Aiman buat mereka.

Bercerita mengenai restoran yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor itu, Hazelina berkata, ia mengetengahkan konsep kontena.

Katanya, untuk menjadikan rekaan berkonsep kontena itu, Aiman membelanjakan lebih RM20,000 bagi proses pengubahsuaian restoran.

“Kini, saya dan suami lebih banyak menghabiskan masa kami menguruskan perniagaan restoran ini kerana sudah ada dua buah restoran.

“Ditambah lagi, lokasi di antara kedua-dua restoran juga tidak jauh dan memudahkan kami untuk menguruskannya,” kata ibu kepada 10 orang anak ini.

Hazelina berkata, dia sangat bersyukur nasihatnya kepada Aiman supaya beringat untuk masa depan diterima baik penyanyi itu.

Sementara itu, bapa Aiman, Yusri Ishak, 50, berkata, apabila anak sudah memberi hadiah, takkan hendak ditolak begitu saja.

“Saya memang tidak meminta, tetapi apabila Aiman sudah membeli dan memberi sebagai hadiah takkan pula nak menolaknya. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dan hanya tumpang gembira dengan apa saja hadiah diterima daripada Aiman,” katanya.

Menurut Yusri, Aiman memang anak yang mengingat jasa orang tua kerana pembabitan awalnya dalam karier nyanyian pun melonjak dengan lagu ciptaan ibu bapa sendiri.

Dalam pada itu, Aiman berkata, dia mahu membahagiakan kedua ibu bapanya selagi masih hidup.

“Ayah dan ibu banyak berkorban untuk saya dan adik-beradik lain. Jadi, sekarang masanya untuk membalas jasa dan membahagiakan mereka.

“Menceburi perniagaan ini adalah persediaan masa depan kerana saya pun tak tahu apa akan berlaku di kemudian hari,” katanya.

Aiman berkata, perkhidmatan disediakan di restoran baru itu ialah hidangan lauk-pauk untuk juadah makan tengah hari dan beberapa menu berbeza dari cawangan pertama.

Sehubungan itu, Aiman juga dikatakan kini merancang membuka satu restoran miliknya di ibu kota tidak lama lagi.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 6:55pm
d