utama

'Abah teringin nak jumpa geng lama'

Oleh Nor Farhani Che Ad

PADA ketika kesakitan akibat kanser usus tahap empat dialaminya semakin mencengkam, lelaki warga emas amat teringin untuk bertemu dengan rakan seperjuangan yang pernah sama-sama berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Hasrat pesara tentera, Ali Mat Isa, 70, itu disuarakan kepada anak perempuannya, Azlinda, 26, minggu lalu selepas pulang daripada menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Isterinya, Hatiah Che Mat, 58, berkata suaminya memulakan perkhidmatan dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Mahkota, Kluang Johor pada Disember 1970 sebelum bertugas di beberapa kem lain seperti Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur sebelum tamat berkhidmat di Markas 6 Briged Kem Sungai Layar, Sungai Petani, pada 1991.

“Suami ada sebut nak jumpa kawan lamanya yang pernah sama-sama berada dalam Batalion Kesebelas Rejimen Askar Diraja (11 RAMD) dan beberapa kem lain sejak minggu lalu.

“Sejak itu, anak kami mula cari gambar lama ayah mereka disimpan di dalam album untuk tujuan mencari kawan lama seperti diinginkan,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Sungai Layar Hujung, Sungai Petani, hari ini.

Hatiah berkata, suaminya kini semakin lemah dan selera makan kian merosot berikutan penyakitnya yang kini dikatakan tiada harapan untuk sembuh.

Katanya, penyakit suaminya dikesan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di dalam usus pada September tahun lalu.

“Awalnya suami hanya menjalani prosedur pembedahan membuang ketumbuhan di dalam usus selepas suami mengalami masalah sembelit serius.

“Namun, selepas ketumbuhan itu dibuang, doktor mengesahkan suami mengidap kanser usus tahap tiga pula.

“Bagaimanapun, penyakitnya kini kian merebak dan pada Januari lalu, penyakit suami disahkan di peringkat empat dan tidak dapat disembuhkan lagi,” katanya.

Hasil perkongsian hidup, Ali yang berasal dari Sungai Layar, Sungai Petani dan Hatiah yang berasal dari Merbok, Kuala Muda mempunyai 10 orang anak berusia antara 14 hingga 45 tahun.

Bagi yang ingin berkunjung ke rumah Ali, bolehlah menghubungi talian 013-5905378 atau 016-4694506.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 10:01pm
d