utama

'Suka hati kau je belasah anak orang...'

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

MANGSA hanya mampu berdiri tegak sambil sesekali menahan kesakitan akibat diterajang, disepak serta ditumbuk sekumpulan murid lain.

Demikian kelakuan kurang ajar dalam rakaman video berdurasi 1 minit 26 saat memaparkan perlakuan buli murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kawah, Besut, kelmarin (Selasa), yang tular di laman sosial, hari ini.

Video itu antara lain memaparkan tindakan dipercayai tiga murid Tahun Enam yang berpakaian seragam badan beruniform Tunas Kadet Remaja Sekolah Malaysia melakukan buli dengan menyepak dan memukul seorang rakan mangsa.

Mangsa yang ketakutan berdiri tidak melawan dan disepak di bahagian paha serta bahu selain ditumbuk di belakang badan dan perut.

Mengulas mengenai video berkenaan, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin, berkata keluarga murid Tahun Enam yang menjadi mangsa buli itu sudah membuat laporan polis selepas kejadian untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa dibuli rakan sekelasnya ketika waktu rehat dan kejadian itu dirakam seorang murid yang membawa telefon bimbit ke sekolah.

“Kes ini kami serahkan kepada polis untuk siasat kerana keluarga mangsa sudah membuat laporan mengenainya. Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah menjalankan sesi kaunseling untuk murid mangsa buli berkenaan.

“Punca mangsa dibuli masih dalam siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, pihak sekolah meningkatkan pemantauan terhadap murid sekolah berkenaan dan mengetatkan pemeriksaan supaya tidak ada murid membawa telefon bimbit ke sekolah.

“Kami minta pihak sekolah pantau murid terutama pada waktu rehat dan melakukan pemeriksaan lebih kerap mengelakkan murid membawa barangan dilarang seperti telefon bimbit ke sekolah.

“Ibu bapa perlu bertanggungjawab memastikan anak mereka mematuhi peraturan sekolah.

“Walaupun kami dimaklumkan murid berkenaan membawa telefon bimbit bagi memudahkan komunikasi dengan kedua ibu bapanya berikutan masalah pengangkutan, ia tetap tidak dibenarkan dan menjadi satu kesalahan. Murid boleh menggunakan telefon di pejabat,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu murid mangsa buli berkenaan mengalami lebam di kaki dan tangannya akibat dipukul dan disepak rakan sekelasnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan murid berkenaan sudah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut petang ini untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 5:37pm
d