utama

Harap kejutan

Oleh Firdaus Hashim

DATUK Ong Kim Swee selesa dengan status ‘underdog’ di Kejuaraan B-22 Piala AFF di Phnom Penh, Kemboja yang akan membuka tirainya esok.

Pengendali negara yang pernah menghadiahkan pingat emas dan perak pada Sukan SEA 2011 dan 2017 itu percaya, tidak banyak tumpuan akan diberikan kepada Malaysia di kejuaraan itu nanti.

Malaysia akan memulakan aksi dengan menentang tuan rumah pada Isnin di Stadium Olimpik Kebangsaan Kemboja.

Malah, Myanmar dan Indonesia yang turut diundi dalam Kumpulan B bersama Malaysia dan Kemboja, pasti tampil selaku pilihan selepas kedua-dua negara itu melakukan persiapan cukup baik bagi menghadapi saingan serantau itu.

Persatuan Bolasepak Myanmar dikhabarkan sanggup menghentikan saingan liga mereka selama sebulan bagi memudahkan tugas pengendalinya untuk membentuk skuad mantap ke Phnom Penh, manakala Indonesia pula berlatih selama tiga minggu berbanding skuad negara yang hanya sempat lima hari bersama.

Sedar dengan kekuatan yang dimiliki, Kim Swee tetap menaruh harapan tinggi anak buahnya mampu mencipta kejutan meskipun sekadar mempertaruhkan skuad kedua di kejohanan itu.

“Ketiga-tiga pasukan (adalah pasukan pilihan). Kemboja kita tak boleh pandang rendah di mana mereka bermain di tempat sendiri. Kita tahu Kemboja di kejohanan peringkat umur, semakin bertambah baik, begitu juga Myanmar dan Indonesia.

“Myanmar memberhentikan liga untuk sebulan termasuk Indonesia yang sudah berlatih hampir tiga minggu. Jadi mereka adalah pilihan dan kita hanya sebagai ‘underdog’ dan saya harap kita mampu lakukan kejutan,” katanya yang berlepas ke Kemboja bersama pasukan, semalam.

Mengulas mengenai persiapan, bekas pemain kebangsaan itu mengaku terdapat kelemahan besar terutama di bahagian tengah yang masih gagal memuaskan hatinya.

“Kita dapat lihat bahagian tengah belum begitu mantap. Banyak lagi pergerakan kita tersangkut ataupun terbantut, di mana tiada hubungan baik antara tengah dan penyerang.

“Saya harap menjelang aksi pertama nanti, kita dapat perbaiki kelemahan itu dan cuba mencari peluang untuk melepasi peringkat kumpulan,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 7:38am
d