utama

Sesat sampai ke China

Oleh Agensi

Kunming, China: Seorang wanita yang menghadapi masalah ingatan, berjalan kaki hingga ke China sejauh 640 kilometer akibat tersesat selama lapan bulan selepas keluar rumah untuk bertemu anak lelakinya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya di wilayah Chiang Rai, Thailand.

Menurut Daily Mail yang memetik laporan media tempatan, wanita itu, Kaeomanee Arjaw, 59, yang menghidap dementia, ditemui polis China di Kunming, selatan China, hujung bulan lalu.

Kaeomanee dilaporkan hilang pada 12 Jun tahun lalu, selepas keluar dari rumahnya di wilayah Thailand yang bersempadan dengan Laos dan Myanmar itu.

Berdasarkan kad pengenalan yang ditemui pada wanita itu, polis China menghubungi Konsulat Thailand yang kemudian berjaya mengesan anak perempuan wanita itu, Suchada, 35.

Khamis lalu, Suchada diterbangkan bersama pegawai Thailand ke Kunming untuk dipertemukan dengan ibunya dan mereka berpelukan sambil menangis.

Dalam rakaman video pertemuan itu, wanita berkenaan ditanya ke mana dia mahu pergi selepas keluar dari rumah Suchada tahun lalu.

“Saya pergi berjumpa anak lelaki saya. Selepas berjumpanya saya terus berjalan. Tiada kereta saya temui sepanjang berjalan,” katanya.

Menurut pegawai imigresen Thailand di Chiang Rai, Kolonel Aekkorn Butsabarbodin, wanita itu hanya berjalan kaki dan meminta makanan dari gerai sepanjang jalan dilaluinya.

Menurut Suchada, ibunya kurus akibat perjalanan jauh itu dengan kehilangan 20 kilogram berat badan.

Kaeomanee dan Suchada diterbangkan pulang ke Chiang Rai, Jumaat lalu.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 7:10am
d