utama

Panik kosong

Oleh Agensi

Orlando: Seorang lelaki mencetuskan panik di Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando apabila tindakannya memasukkan tangan dalam poket baju disangka untuk mengambil senjata disimpan di situ, menyebabkan orang ramai bertempiaran melarikan diri.

Ryan Scott Mills, 37, ditahan selepas cuba merempuh pos kawalan keselamatan di lapangan terbang itu pada jam 12.15 tengah hari, Sabtu lalu, kata jurucakap kepada Orlando Sentinel. Bagaimanapun, ketika ditahan Mills terus memasukkan tangan dalam poket bajunya menyebabkan seseorang yang tidak diketahui menjerit dia mempunyai pistol.

Rakaman video diambil menggunakan telefon bimbit menunjukkan orang ramai menjerit dan melarikan diri dari dewan berlepas ke arah pintu pagar.

Kanak-kanak dilihat menangis manakala penghadang terbalik akibat dirempuh dan bunyi penggera juga bingit sepanjang dewan berkenaan.

Perakam berkenaan turut didengar berkata, Mills mungkin mempunyai ‘bom tangan atau sesuatu’ dalam genggamannya, kata ABC News. Polis bagaimanapun kemudian berkata, Mills tidak mempunyai pistol.

Beberapa orang mengalami cedera ringan akibat dirempuh.

Ini kali kedua kejadian pelik mencetuskan panik di lapangan terbang berkenaan bulan ini. Pada 2 Februari lalu, seorang kakitangan keselamatan membunuh diri dengan melompat dari Hotel Hyatt Regency di situ ke dalam kawasan yang sibuk.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 7:01am
d