utama

Muslim Care, MARC ringan beban 100 gelandangan [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

KUALA LUMPUR: Berkelana membawa diri dan tidur beralaskan kotak serta berbumbungkan langit.

Demikian nasib lebih 100 gelandangan tua, bujang dan musafir yang banyak menghuni lorong di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini demi kelangsungan hidup.

Kebanyakan mereka enggan menyusahkan keluarga di kampung dan memilih tinggal di ibu kota, malah tidak mampu membayar sewa bilik serta rumah antara faktor utama menjadi gelandangan.

Bagi wanita ini, Suriani Aziera Shahril, 33, yang dianggap seperti kak long kawasan untuk gelandangan serta fakir miskin, pengalaman hidupnya yang susah mendorong dia menjadi orang tengah antara badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan itu.

“Kebanyakan gelandangan di sini terdiri daripada musafir, orang tua dan bujang berusia sekitar 50 tahun ke atas.

“Manakala bagi keluarga yang mempunyai anak ramai menghuni beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan Selangor antara keutamaan untuk dibantu berbanding gelandangan,” katanya ketika ditemui dalam Program Menyantuni Gelandangan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) dengan kerjasama agensi swasta, Malaysia Rating Corporation Berhad (MARC) di sini, kelmarin.

Dia yang lebih dikenali sebagai Kak Baby berkata, tindakan yang dilakukan sebagai pemudah cara selepas mengenali setiap latar belakang gelandangan dan fakir miskin perlu dibantu sejak lima tahun lalu.

“Saya mahu bantuan seperti barangan keperluan asas, pampers dan susu itu sampai kepada golongan yang betul- betul memerlukan.

“Saya bukan siapa-siapa di sini, sekadar hamba Allah yang mempunyai pengalaman yang sama dengan mereka, disebabkan itu saya membuat senarai setiap gelandangan dan asnaf betul-betul memerlukan bantuan,” kata ibu lapan anak itu.

Katanya, terdapat lebih 100 gelandangan dan 400 keluarga miskin yang menyewa bilik dan rumah sekitar kawasan itu.

“Alhamdulillah setiap hari ada saja bantuan diberikan NGO untuk mereka, jadi mereka ini tidak akan putus makanan,” katanya.

Sementara itu, seorang asnaf yang mahu dikenali sebagai Umi, 40-an berkata, dia mempunyai lapan anak dan menyewa sekitar lorong itu dengan harga RM600.

“Suami bekerja sebagai buruh kontrak dan wang kami banyak digunakan untuk membayar sewa bilik yang mahal di kawasan ini.

“Kami memang sangat memerlukan bantuan makanan ini demi kelangsungan hidup terutama anak yang masih kecil,” dakwanya.

Usaha Metro Ahad untuk menemubual gelandangan tidak berjaya apabila mereka enggan berikutan tidak mahu keluarga di kampung mengetahui nasib hidup di ibu kota.

Sementara itu, Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya mengagihkan 200 pek makanan keperluan asas yang setiap satu bernilai RM150 buat gelandangan dan fakir miskin yang memerlukan.

“Program tahunan ini diadakan setiap empat kali setahun bagi memberi bantuan kepada golongan berkenaan.

“Sebanyak RM15,000 peruntukkan digunakan untuk program hari ini dan kita berharap ia memberi manfaat serta membantu golongan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 8:36am
d