utama

Koperal jadi guru 'catwalk'

Oleh Redzuan Muharam

KUALA LUMPUR: Meskipun bergelar anggota polis, Koperal P Thiruselvam, 32, sempat meluangkan masa memberi bimbingan catwalk kepada mereka yang berminat untuk bergelar peragawati.

P Thiruselvam yang kini berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berkata, bimbingan itu diberi secara percuma dan dilakukan kerana minatnya terhadap bidang peragaan.

Meskipun tidak pernah bergelar peragawan, beliau menggunakan pengalamannya sebagai anggota polis untuk melatih cara berjalan dengan postur badan yang betul dan membentuk disiplin mereka.

“Saya mula serius sebagai jurulatih peragaan sambilan sejak tahun lalu dan pengalaman itu yang memberi galakan untuk berkongsi pengetahuan yang ada walaupun tidak pernah bergelar peragawan.

“Kiranya, saya lakukannya secara sukarela dengan membuka penyertaan kepada sesiapa yang serius dan berminat untuk belajar,” katanya.

Menurutnya, selain mengajar teknik catwalk, dia turut menggunakan platform itu bagi membentuk disiplin peserta.

Katanya, pembentukan disiplin menjadi fokus utamanya kerana percaya ia salah satu faktor kejayaan dalam apa saja bidang yang diceburi.

“Saya berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 12 tahun lalu dan kerjaya sebagai anggota badan beruniform melatih saya menitikberatkan soal disiplin setiap hari dan dalam apa juga tugasan diberikan.

“Itu yang cuba saya tekankan dan bagi meningkatkan keyakinan mereka, saya tidak adakan kelas di tempat tertutup sebaliknya di kawasan tumpuan orang ramai iaitu pusat beli-belah.

“Dengan cara itu, mereka jadi lebih serius ketika belajar dan setakat ini, komitmen saya tidak terganggu kerana kelas hanya diadakan pada hujung minggu dan bukan dalam tempoh yang lama,” katanya yang bercadang membuka akademi peragaan profesional satu hari nanti.

Sementara itu, model sepenuh masa, Trisha Tan, 20, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, dia berkenalan dengan P Thiruselvam dalam satu majlis dan tertarik mengikuti kelas anjurannya kerana mahu menimba ilmu dalam bidang peragaan selain mempelajari cara catwalk dengan betul.

“Saya tidak pernah menyertai mana-mana kelas peragaan sebelum ini namun berminat untuk belajar dengannya kerana percuma dan keinginan memperbaiki kelemahan diri.

“Lagipun, saya baru dalam bidang ini dan akan menyertai sebuah pertandingan ratu cantik tidak lama lagi jadi penting untuk membuat persiapan.

“Walaupun dia tiada pengalaman sebagai model, ketegasannya ketika mengajar menarik minat saya untuk turut serta malah itu yang menjadikan saya lebih serius ketika belajar,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 9:32am
d