utama

Namun Syabil Punya Hati

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JOHOR BAHRU: Telatah mencuit perasaan seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) menyanyikan lagu Kumpulan Revolvers bertajuk Namun Ku Punya Hati bukan saja tular hingga dikongsi lebih 1,000 kali di pelbagai aplikasi media sosial sejak kelmarin, malah mendapat pelbagai reaksi positif netizen.

Video berdurasi tiga minit dan 46 saat nyanyian Muhammad Syabil Abd Khalid, 10, murid Sekolah Kebangsaan Datuk Ismail Sadon Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, dekat sini, ditonton lebih 50,000 pengguna Facebook (FB) terutama menerusi pelbagai akaun komuniti daerah dan negeri ini.

Antara komen yang mendapat perhatian umum termasuklah “Awak buat saya nangis sayang,” luahan pemilik akaun FB bernama Tyka Hanafiah yang nyata terharu menonton video berkenaan.

Selain itu, pengguna FB lain memberikan kata-kata semangat dan positif kepada anak syurga itu menerusi doa seperti “InsyaAllah syurga buat mu dik Shabil,” yang disampaikan menerusi laman komen video yang dikongsi abang sulung Muhammad Syabil menerusi akaun FB Syhafiq Khalid.

Muhammad Syhafiq Abd Khalid, 28, memberitahu tidak menyangka rakaman yang dibuat di rumah mereka di Felda Air Tawar 2, mendapat perhatian ramai.

“Mula-mula saya tidak sangka ramai yang suka dengan video berdurasi pendek dikongsikan itu. Ini kerana video terdahulu tidak mendapat sambutan. Sebaliknya ramai orang nampak adik dan kenal dia, apatah lagi menyanyikan lagu yang ada kaitan dengan dirinya,” katanya.

Menurutnya, rakaman video dibuat minggu lalu atas permintaan adik bongsunya yang mahu dikenali ramai.

“Dia minta saya rakam video kerana nak masuk televisyen. Dia teringin sangat mahu muncul di televisyen terutama dalam program Motif Viral yang disiarkan stesen televisyen tempatan.

“Kira itulah impian adik bongsu kami dan saya hampir merealisasikannya apabila video itu dikongsi serta ditonton orang ramai,” katanya.

Menurutnya, selain merakam video dan menyanyikan lagu di rumah, adiknya turut dipanggil membuat persembahan di karnival.

Katanya, adiknya yang juga murid pendidikan khas dilahirkan dengan kekurangan fizikal termasuk kaki pendek tanpa lutut, selain memiliki satu buah pinggang dan lelangitnya berlubang.

“Muhammad Syabil berkerusi roda sepanjang berada di sekolah. Walaupun serba kekurangan, dia berminat bermain bola sepak,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 8:43am
d