utama

RM70,000 jadi RM650,000

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

KUALA TERENGGANU: Seorang pesara guru sanggup membelanjakan wang lebih RM700,000 semata-mata mahu memenuhi impiannya memiliki rumah tradisional Terengganu.

Saari Jusoh, 58, nyata gembira apabila dia kini mempunyai dua rumah antik Terengganu iaitu rumah bujang yang dibina pada 1879 dan rumah tele berusia lebih 100 tahun.

Rumah bujang yang diperbuat daripada kayu cengal itu dibeli sejak 20 tahun lalu di Kampung Nisan Empat, Tanjung dengan harga RM60,000 dan ditempatkan di pekarangan rumahnya di Kampung Laut dekat sini.

Sementara itu, rumah tele yang dibeli di Kampung Tanjung dengan harga RM70,000 sebelum diubah suai dengan kos sebanyak RM650,000 itu kini berada di pekarangan di Kampung Tok Kaya.

Saari berkata, dia tidak kisah menghabiskan wang untuk merealisasikan impiannya memiliki rumah tradisional Terengganu itu.

“Jika orang tanya tentang simpanan, saya tidak mempunyai wang simpanan kerana semuanya sudah dihabiskan sebaliknya hanya memiliki dua rumah yang berharga itu.

“Semua wang yang diperoleh hasil berniaga digunakan untuk membeli dan membaik pulih rumah tradisional.

“Hanya Allah SWT yang tahu kepuasan yang saya peroleh daripada koleksi rumah tradisional yang dimiliki ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Laut di sini, semalam.

Katanya, dia bukan sekadar memiliki dua rumah tradisional itu, tetapi turut membuat kajian selain mempelajari selok-belok mengenai rumah tradisional seperti itu.

“Selain membuat rujukan daripada buku, muzium dan tukang rumah antik, saya turut pergi ke negara-negara yang masih kaya dengan keunikan rumah tradisional seperti itu.

“Thailand dan Indonesia antara negara yang kerap dikunjungi untuk membuat rujukan mengenai rumah tradisional,” katanya yang bekas guru Sekolah Pusat Yayasan Islam Terengganu.

Menurutnya, keunikan rumah tradisional Terengganu perlu dipertahankan dengan memulihara khazanah itu sebaik mungkin.

“Banyak rumah antik seperti ini dirobohkan kerana pembangunan sejak lebih 30 tahun lalu dan saya bertuah kerana masih memilikinya.

“Ia bukan hanya untuk kepuasan saya, tetapi sekurang-kurangnya dua rumah itu boleh dijadikan rujukan dan tatapan generasi akan datang.

“Malah, dua rumah itu turut menjadi pilihan pengunjung yang mahu mengambil gambar sebagai kenangan selain dijadikan sebagai lokasi untuk penggambaran pelbagai rancangan televisyen,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Azizah Said, 57, berkata, dia sentiasa menyokong minat dan impian suaminya kerana sudah maklum dengan kecenderungan lelaki terbabit sejak mereka berkahwin.

“Biarpun menelan belanja yang tinggi namun ia berbaloi kerana nilai dua rumah antik itu sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

“Harga dua rumah ini tidak mencecah RM100,000 kira-kira 20 tahun lalu, tetapi difahamkan ia mampu mencecah lebih RM1 juta hingga RM3 juta sebuah,” katanya.

Menurutnya, kewujudan rumah tradisional di pekarangan rumah membuatkan kawasan rumahnya lebih berseri dan kelihatan tradisional.

“Tidak senang untuk mencari dua rumah tradisional seperti itu sekarang dan kewujudannya menyebabkan ia sentiasa menjadi perhatian ramai.

“Malah, kedudukan rumah tradisional yang terletak di tepi jalan di Kampung Laut turut memudahkan rakan yang kali pertama bertandang mencari rumah kami,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 9:04am
d