utama

Melecur 'bermandikan' sambal popia mendidih

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KANAK-KANAK perempuan melecur seluruh badan akibat terkena sambal popia basah yang mendidih dalam kejadian di rumah ibu saudaranya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, 7 Februari lalu.

Ibu mangsa, Zalida Syuhana Ahmad Tamam, 43, berkata, ketika kejadian, anaknya, Azalea Hani Abdul Rahim, 5, berada di rumah ibu saudaranya untuk meluangkan masa cuti sekolah bersama sepupunya yang lain.

Menurutnya, dia yang juga kakitangan swasta bekerja ketika kejadian sebelum dimaklumkan kakaknya berusia 45 tahun mengenai kejadian itu, kira-kira 8 malam.

Katanya, pada hari kejadian, ada ramai anak saudara di rumah kakaknya yang menjual popia basah memandangkan ketika itu cuti sekolah.

“Ketika kejadian, kakak meninggalkan sambal yang sedang masak di dalam periuk di dapur untuk solat Maghrib bersama ibu berusia 67 tahun.

“Beberapa minit kemudian, dia memaklumkan terdengar tangisan dan jeritan anak dari bahagian dapur sebelum bergegas meninjau apa yang berlaku.

“Ketika ditemui, keseluruhan badan Azalea (Hani) dipenuhi sambal berkenaan yang tumpah daripada periuk terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zalida Syuhana berkata, kakaknya kemudian menjirus air ke bahagian badan anak bongsunya itu dan cuba menanggalkan baju yang dipakai Azalea Hani yang melekat pada kulitnya.

“Seluruh badan Azalea dipenuhi dengan cili menyebabkan kakak terpaksa menjirus air ke badannya, malah kakak cuba menanggalkan baju dipakainya, namun ia melekat pada kulit Azalea.

“Mereka terus membawa Azalea ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Selain Azalea, seorang lagi anak saudara lelaki saya berusia enam tahun turut terkena sambal berkenaan menyebabkan dia melecur di bahagian kaki dan tangan,” katanya.

Menurut Zalida Syuhana, doktor memaklumkan tahap melecur anak perempuannya itu di semakin kritikal menyebabkan dia dipindah ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, pada mulanya, Azalea dirawat di wad kanak-kanak biasa, namun terpaksa dipindahkan ke ICU selepas tahap kesihatannya semakin merosot pada hari kedua dia dirawat di hospital berkenaan.

“Sehingga ke hari ini, dia sudah menjalani enam pembedahan bagi membuang kulit mati selain mengatasi masalah jangkitan kuman dialaminya di seluruh badan.

“Doktor memaklumkan Azalea perlu menjalani pembedahan ketujuh, Jumaat ini yang menelan kos kira-kira RM20,000,” katanya.

Zalida Syuhana berkata, dia kini runsing memikirkan cara untuk mengumpul wang bagi kos pembedahan anak bongsunya itu.

“Sepanjang tempoh dia di hospital beberapa minggu lalu saja sudah menelan kos ribuan ringgit.

“Sekarang, kami sekeluarga buntu mencari jalan mendapatkan wang untuk menampung perbelanjaan pembedahan itu.

“Doktor memaklumkan akan ada pembedahan susulan dibuat sekiranya pembedahan dilakukan nanti tidak memberikan maklum balas positif terhadap tahap kesihatannya,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada Zalida boleh menghulurkan sumbangan di akaun bank Maybank miliknya, 112183138233 (Zalida Syuhana Ahmad Tamam).

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 8:23pm
d