utama

Aiman kembali pacu kerjaya

Oleh Ardini Sophia Sina

SELEPAS memperlahankan kerjaya nyanyiannya tahun lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci, Aiman Tino kembali memacu kerjaya­nya tahun ini.

Bukan hanya menyanyi, Aiman juga tidak menolak tawaran berlakon sekiranya ada yang sesuai dengan dirinya.

Masalah kesihatan membuatkan Aiman mengambil keputusan berehat seketika. Namun, ia turut membuatkan tahap keyakinannya menurun.

“Tekak saya bermasalah sebelum ini. Saya juga bergantung lama dengan ubat untuk menjalani proses penyembuhan. Suara pula adalah aset bagi seorang penyanyi. Apabila tidak dapat menyanyi dengan baik, automatik keyakinan saya menurun.

“Saya akui kerjaya agak perlahan tahun lalu dan lagu pun cuma ada satu saja. Saya fokus pada perniagaan dan kesihatan.

“Pada masa sama saya berikan peluang kepada rakan artis di bawah syarikat rakaman sama untuk mengembangkan kerjaya.

“Alhamdulillah, kesihatan semakin okey. Saya bina kembali keyakinan diri untuk menyanyi dan menghiburkan orang ramai. Insya-Allah, akan ada single baru tidak lama lagi,” katanya.

Aiman berkata, dia gembira melihat kejayaan rakan penyanyi lain dan tidak ada langsung rasa iri hati terhadap mereka. Malah, Aiman turut berbangga kerana mereka mampu mencipta nama setanding dengan penyanyi baru lain.

Memulakan kerjaya pada 2016, Aiman tidak berasakan terlalu awal untuk memberikan laluan buat rakan sebumbung mencipta nama.

“Ramai penyanyi baru yang berlumba-lumba mencari asas kukuh sebagai penyanyi. Dalam syarikat pengurusan saya pun ada yang sedang berusaha untuk bersinar.

“Memanglah ada terfikir, saya sendiri masih baru dalam industri muzik tapi berikan laluan kepada penyanyi lain. Sebenarnya saya ingin berkongsi rezeki. Saya sudah berjaya membina nama dengan bantuan syarikat rakaman. Jadi, biarlah mereka membantu yang lain pula.

“Tidak ada rasa takut jika peminat melupakan saya. Semua itu adalah rezeki. Saya bangga lihat kejayaan mereka,” katanya.

Tak boleh ikut kepala sendiri

Tidak dinafikan, ada segelintir penyanyi baru sepertinya sekarang ini semakin bersinar dan bergerak pantas menuju puncak. Namun, Aiman punya perancangan sendiri untuk menaikkan kembali namanya.

Mengikut peredaran arus muzik yang sentiasa berubah-ubah, kata Aiman, dia tidak boleh terlalu keras dan hanya ikut ‘kepala’ sendiri.

Sebagai penyanyi, dia juga ingin mengikut ‘trend’ andai itu mampu menjamin kerjayanya.

“Ya, memang benar saya dikenali sebagai penyanyi lagu jiwang, tetapi saya

tidak boleh terlalu ikut hati sendiri. Sebagai penyanyi, kena ikut peredaran muzik itu juga.

“Saya juga ingin bawakan kelainan untuk Aiman dikenali semula. Oleh itu, saya rancang nyanyi lagu genre yang lebih rancak sebagai tambahan pada portfolio saya,” katanya.

Berjaya dalam bidang nyanyian dan mempunyai perniagaan sendiri, Aiman bagaimanapun menafikan sudah bergelar jutawan pada usia muda.

Katanya, masih jauh perjalanan yang perlu dilalui untuk mencapai tahap itu.

“Belum jutawan lagi tapi, itu semua doa dan saya aminkan. Mana tahu suatu hari nanti mungkin akan mencapai tahap itu? Bagaimanapun, saya hanya bekerja keras untuk memberikan kesenangan dan membantu keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 6:01am
d