utama

Rezeki Adrian

Oleh Zuliaty Zulkifli

KUALA NERANG: “Alhamdulillah, hasil sumbangan pembaca Harian Metro, dapatlah kami membeli kereta Proton Iswara terpakai untuk kegunaan kami sekeluarga termasuk membawa Muhamad Adrian Mikail Zainuddin ke hospital,” kata Norsiah Ishak, 41.

Norsiah, ibu bayi berkenaan yang menghidap penyakit jantung berlubang dan sindrom Down sejak lahir, berterima kasih atas keprihatinan pembaca akhbar ini yang sanggup menghulurkan sumbangan kepadanya.

Katanya, walaupun dia tidak mengenali mereka, sumbangan yang diterima mencecah RM6,000 itu membolehkan suaminya, Zainuddin Ramli, 42, membeli kereta terpakai pada harga RM4,000.

“RM2,000 lagi kami guna untuk membeli barangan dapur, selain kegunaan berulang-alik merangkumi kos minyak dan makan minum ke Hospital Kuala Nerang dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

“Selain itu, wang itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang serta membayar ansuran yuran sekolah tiga daripada tujuh anak kami yang mana pasangan kembar menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan seorang lagi akan menjalani Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kejai A, semalam.

Norsiah berkata, keadaan kesihatan anak bongsunya itu agak baik cuma terdapat kesan kemerah-merahan pada badan dan muka anaknya itu yang mungkin disebabkan cuaca panas.

Namun, katanya, dia akan membawa anaknya menjalani rawatan susulan di HSB hari ini untuk mendapatkan keputusan ujian darah yang diambil sebelum ini bagi mengenal pasti keadaan kesihatan anaknya.

“Sebelum ini, saya dan suami hanya mampu membawa Muhamad Adrian Mikail menunggang motosikal sejauh kira-kira 20 kilometer berulang-alik dari sini ke Alor Setar, namun sekarang sudah ada kereta dan semuanya lebih mudah.

“Selain itu, kereta ini juga dapat menjemput anak-anak pulang dari sekolah kerana sebelum ini ada yang terpaksa dijemput dengan motosikal dan ada yang menumpang kawan,” katanya.

Norsiah berkata, suaminya yang juga penoreh getah hanya berpendapatan RM700 sebulan manakala dua anaknya masing-masing baru bekerja dan tiada sumber pendapatan tetap selain empat anaknya yang lain masih bersekolah.

Harian Metro pada 31 Januari lalu melaporkan seorang ibu buntu apabila anaknya yang menghidap jantung berlubang sejak lahir perlu menjalani rawatan susulan di hospital setiap bulan, namun disebabkan kekurangan wang, mereka tidak dapat membawa bayi itu ke hospital sejak tiga bulan lalu.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 7:31am
d