utama

Shima sakit misteri, warung 'terhijab'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“KENAPA orang nak dengki dengan saya? Saya bukan kacau orang. Saya bukan berniaga besar-besaran dan hanya buka warung untuk menampung hidup setiap bulan”.

Itulah keluhan penyanyi Shima, 50, mengulas kejadian misteri yang menimpa dirinya selepas Warung Teringin miliknya tular dalam kalangan ramai.

Sejak tular berita Shima berniaga mulai 3 Disember lalu di tapak berhampiran kediamannya di Pangsapuri Lestari, Damansara Damai, dia mendakwa pelbagai perkara aneh berlaku terhadapnya termasuk membabitkan kucing peliharaannya.

“Sejak kisah berniaga tular, saya ditimpa sakit belakang yang agak serius menyebabkan terpaksa menutup warung buat sementara waktu selain tulang bengkak dan terpaksa makan ubat.

“Begitu juga dengan kucing saya yang muntah darah, muntah rambut dan sakit jantung sebelum seekor demi seekor mati sedangkan sebelum ini semuanya sihat. Sehingga kini sudah tiga ekor mati,” katanya kepada Harian Metro.

Selain berdepan sakit misteri, Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman juga bingung kerana orang seakan tidak perasan warungnya dibuka membuatkan perniagaannya agak perlahan.

“Saya terpaksa masak dalam kadar sedikit kerana bimbang rugi. Doktor juga menasihatkan saya jangan banyak bergerak,” katanya yang sudah lama berdepan masalah sakit saraf dan sakit belakang.

Menurutnya, seorang rakan yang bersimpati membawanya bertemu pengamal perubatan Islam wanita dan selepas melakukan rawatan, keluar pelbagai benda pelik dari badannya.

“Dia urut badan saya dan amat terkejut apabila keluar rambut dan pasir dari badan.

“Semalam seorang ustaz datang ke rumah dan buat air bancuhan garam dengan lada hitam serta limau untuk saya mandi bagi menghilangkan benda yang tak elok di badan.

“Dia tahu berkenaan kucing mati tanpa saya bercerita. Selain mandi, dia juga buat campuran garam dan lada hitam untuk ditaburkan di warung bagi menghindarkan sebarang anasir tidak elok,” katanya.

Mengulas lanjut, Shima mengakui dirinya sudah beransur pulih, namun agak trauma untuk melalui perkara itu lagi.

“Saya rasa takut nak keluar cerita mengenai perniagaan ini di media massa. Bulan ini saya baru berniaga sehari kerana tak berdaya sangat.

“Cadangnya bulan depan barulah saya nak berniaga semula. Saya amat tak faham dengan perangai manusia yang suka berdengki.

“Kami suami isteri hanya berniaga nasi campur untuk cari rezeki dan tak pernah menganiaya sesiapa. Kami bukanlah orang kaya kerana kalau kaya takkan buka warung,” katanya yang mengaku hairan dengan dengki orang terhadapnya sejak dulu sampailah sekarang.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 1:45pm
d