utama

Nilai Kasut Emas susut

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Hilangnya nilai prestij Anugerah Bolasepak Kebangsaan apabila pemenang Kasut Emas menerima hadiah ‘cap ayam’ sekali gus boleh menjatuhkan martabat sukan nombor satu negara itu di persada antarabangsa.

Ini berikutan pemenang anugerah itu didominasi 13 penggempur import sejak 2004, selain beberapa penyerang tempatan.

Antara pemenang dari luar negara termasuk penjaring terbanyak pada 2006 dan 2007, Keita Mandjou dari Guinea dan Paulo Rangel dari Brazil pada 2014.

Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni berkata, keperitan dan kesusahan pemain yang bersungguh-sungguh untuk menjaringkan gol seperti tidak dihargai apabila replika Kasut Emas yang diterima sebenarnya adalah semburan warna keemasan saja.

Beliau berkata, pihak berkaitan seharusnya lebih menghargai keringat pemain yang sudah melakar sejarah menjadi penjaring gol terbanyak dengan memberi hadiah lebih bernilai dan bermutu tinggi.

“Bayangkan mahu menjaringkan satu gol pun agak susah bagi sesetengah pemain apa lagi kepada pemenang Kasut Emas, pasti sudah memberikan persembahan terbaik dan memberikan segalanya demi memenangi anugerah itu.

“Namun, mereka tentu sedih atau kecewa apabila mengetahui hadiah Kasut Emas sebenarnya adalah but yang disembur cat keemasan dan lebih kecewa apabila ia menjadi lapuk atau sudah rosak selepas tempoh tertentu,” katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan trofi anugerah Kasut Emas Liga Malaysia (Liga M) sebenarnya bukanlah tulen ataupun bersadur emas, sebaliknya ia hanya but bola biasa yang disembur warna keemasan untuk dihadiahkan kepada penjaring gol terbanyak.

Lebih mengecewakan, kasut berkenaan sudah rosak walaupun disimpan rapi seperti disahkan tiga bekas pemenangnya, Mohd Nizaruddin Yusof, Mohamad Ashari Samsudin dan Mohd Haris Safwan Mohd Kamal.

Bakri berkata, pihak berkaitan terutama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu memandang serius masalah terbabit supaya tiada pihak mempertikaikan perkara itu hingga menganggap anugerah Kasut Emas tidak bernilai.

“Lebih baik tidak memberikan hadiah berkenaan kepada pemenang kerana jika mengetahui replika terbabit sebenarnya adalah ‘cap ayam’ atau tidak berkualiti.

“Situasi itu boleh melemahkan moral pemain yang mungkin menganggap keringat dan kesungguhan mereka tidak dihargai oleh pihak berkaitan,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 7:00am
d