utama

Kereta terbabas, terbalik atas kubur

Oleh Nur Saliawati Salberi

PEMANDU kereta cedera selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu terbalik di atas kubur di Jalan Bukit Senjuang, Melaka malam tadi.

Kejadian berlaku 11.30 malam ketika pemandu Proton Iswara Aeroback itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebelum kejadian lelaki berusia 30 tahun itu dalam perjalanan dari arah persimpangan lampu isyarat Semabok menghala ke Ujong Pasir.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba mengelak anjing sebaik tiba di tempat kejadian.

“Akibat itu kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh kubur di sebelah kanan jalan,” katanya hari ini.

Afzanizar berkata, akibat kemalangan itu mangsa cedera di beberapa bahagian badan termasuk luka di kepala dan tangan.

“Dia kini dirawat di sebuah hospital swasta di bandar raya ini.

“Keretanya kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 6:41pm
d