utama

Sudah takdirku hidup sendirian...[METROTV]

Oleh Safuri Kamarudin

BUKAN sahaja tinggal berseorangan, seorang warga emas terpaksa mengengsot untuk bergerak di dalam rumahnya serta kawasan sekitar demi meneruskan kehidupan seharian.

Begitulah nasib dilalui Abdul Ghani Abdul Rahman, 78, dari Kampung Tok Kaya, Pulai, Baling, yang hidup berdikari dan bersendirian ketika sudah dimamah usia.

Dia yang dikenali sebagai ‘Tok Wan’ lebih suka hidup bersendirian di rumah itu berkata, walaupun mempunyai lima anak kerana tidak mahu menyusahkan mereka yang sudah mempunyai tanggungjawab dengan keluarga masing-masing.

“Tok Wan bukan tidak ada anak...ada..tetapi Tok Wan tidak mahu menyusahkan kehidupan mereka.

“Bukanlah kata anak tak ajak tinggal dengan mereka, tetapi Tok Wan sendiri yang tak mahu kerana tidak mahu mengganggu mereka, apatah lagi masing-masing sudah ada keluarga,” katanya ketika menerima kunjungan pertubuhan sukarelawan Anak Perantauan Baling, hari ini.

Katanya, dia sudah hidup bersendirian selepas berpisah dengan isterinya kira-kira 40 tahun lalu dan sebulan lalu, dia mengalami kemalangan jalan raya apabila dilanggar motosikal ketika dia hendak pergi ke kedai runcit di kampungnya itu.

“Kemalangan itu menyebabkan Tok Wan tak mampu lagi nak berjalan kerana kaki kiri bengkak dan terpaksalah mengengsot seorang diri untuk menguruskan diri macam nak pergi mandi di luar rumah.

“Mujurlah ada kawan dan individu baik hati menghantar makanan kerana Tok Wan sudah tidak boleh lagi memasak,” katanya.

Katanya, di ruang luar rumah seluas dua meter itulah menjadi tempat dia tinggal dan tidur dengan beralaskan kain sejak sebulan lalu.

“Apabila malam Tok Wan hanya menggunakan lilin sahaja untuk menerangi ruang ini, jadi sebab itulah Tok Wan senang duduk seorang diri dan menghabiskan sisa hidup di sini.

“Jika duduk dengan anak, Tok Wan terpaksa kejutkan mereka tengah malam dan menyusahkan mereka kerana Tok Wan nak buang air besar atau kecil,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 8:02pm
d