utama

Kata-kata di Makkah ubah hidup [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

KUALA LUMPUR: Berkat doa di depan Kaabah pada awal penghijrahannya, hasrat bekas mak nyah untuk bertemu dengan ayah yang terpisah selama 26 tahun, akhirnya termakbul.

Dia yang dulunya dikenali sebagai Yana, kini kembali kepada fitrah asal sebagai Harry Zulkifli, 27, bersyukur kerana pertemuan Julai tahun lalu itu berlaku dalam keadaan dirinya tidak lagi berpenampilan wanita.

Kini Harry merasai nikmat kasih sayang seorang ayah selepas puas mencari bapa yang meninggalkannya sejak berusia setahun.

Malah, tiada yang lebih membahagiakan buat seorang ibu apabila anak dikandungnya kembali kepada fitrah sebagai lelaki selepas bergelumang dengan dunia kemaksiatan dan kecelaruan identiti.

Harry berkata, doa seorang ibu nyata tiada hijab apabila dia akhirnya membuat keputusan untuk berubah dan kembali ke fitrah asal.

“Saya membesar sepenuhnya dengan ibu dan ketika kecil tidak kenal siapa ayah kandung. Sepanjang menjadi mak nyah, saya akui banyak buat benda tidak patut termasuk terjebak homoseksual dan alkohol kerana terlampau mengikut jiwa muda.

“Akibat terlalu melayan nafsu selepas tingkatan lima, saya mula makan pil perancang untuk menjadi seorang wanita,” katanya.

Akuinya, apa yang mendorongnya menjadi mak nyah berpunca daripada kerana terlampau mengikutkan nafsu sendiri.

“Ketika masih kecil saya dibesarkan oleh dua wanita iaitu ibu dan kakak. Ayah saya bercerai ketika saya berumur setahun. Malah, saya akui faktor rakan sebaya juga menguatkan lagi nafsu untuk menjadi wanita terutama apabila hidup jauh daripada keluarga yang menjadikan saya makin hanyut.

“Apa yang paling menyedihkan, ketika menjadi mak nyah, saya sudah lama tidak solat Jumaat. Saya tidak tahu macam mana mahu pergi solat dalam keadaan rambut panjang, berpakaian wanita dan buat benda Allah larang.

“Malah, solat lima waktu juga terabai. Saya lupa baca tahiyat akhir dan bila dapat gaji saya tidak hantar duit kepada ibu di kampung sedangkan penyakitnya sudah di tahap akhir apabila dua buah pinggangnya rosak,” katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Menurutnya, ibunya mula perasan perwatakannya yang lembut sejak kecil dan melarangnya memakai pakaian perempuan dan bermekap.

“Namun, kecil-kecil dulu saya bijak juga, bila nak keluar rumah saya pakai pakaian lelaki. Selepas keluar saya transform jadi wanita, tapi benda macam ini tidak boleh sembunyi sebab bentuk badan saya mula nampak.

“Ibu sudah tegur dan lama-lama dia pun berhenti beri nasihat, mungkin kerana sudah penat, cuma pesannya jangan sampai saya hilang kerja,” katanya yang dulu bekerja sebagai pembantu perubatan di hospital kerajaan.

Katanya, dia mula berhijrah pada 2016 selepas mengikut seorang rakannya keluar tabligh selama tiga hari.

“Namun saya masih tidak bersungguh-sungguh kerana belum bersedia. Namun ketika itu sudah terdetik untuk berubah kerana melihat layanan baik mereka selama tiga hari kami bersama. Mereka sedikitpun tidak cerita keburukan diri saya dan terima saya seadanya. Saya cuba berubah dengan memotong rambut sedikit pendek dan berhenti makan pil perancang.

“Bagaimanapun, peristiwa yang berlaku di Makkah ketika menemani ibu menunaikan umrah benar-benar menukar sifat saya. Saya didatangi remaja berusia lingkungan 17 tahun. Rambut saya ketika itu masih panjang dan remaja berkenaan mengatakan jangan hairan dan usah berkecil hati kalau orang di Tanah Haram pandang saya sebab di sini susah nak cari orang seperti saya.

“Tapi saya masih ingat kata-katanya ‘jika awak datang ke Makkah dan Madinah untuk mencari Allah, awak salah. Allah tiada di Makkah, Madinah dan juga Kaabah. Kalau awak betul-betul nak cari Allah, cari dalam hati.’ Kata-katanya itu membuatkan saya termenung,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian memohon kepada Allah di depan Kaabah, meminta supaya dipertemukan dengan ayah yang terpisah sejak sekian lama.

“Saya berdoa jika Allah tidak bagi saya jumpa ayah, sekurang-kurangnya bagi gambaran sedikit muka ayah untuk dikenang,” katanya.

Harry berkata, sebaik pulang daripada mengerjakan umrah, dia mula berubah sedikit demi sedikit dan berasa gembira dengan hadiah paling besar yang Allah berikan – kehadiran ayahnya.

“Buat pertama kali, selama 26 tahun saya akhirnya bertemu seorang lelaki bergelar ayah. Doa saya ketika berada di depan Kaabah nyata dimakbulkan.

“Rancangan Allah selalunya tepat. Kalau Allah bagi saya jumpa ayah sebelum berhijrah dan tengok kehidupan lama, pasti dia sedih.

“Saya peluk ayah kuat-kuat dan minta maaf. Di sebalik penghijrahan ini saya juga bertemu 11 adik-beradik lain dan hubungan kami sangat baik,” katanya.

Mengimbas cabaran untuk berhijrah, Harry berkata, dia perlu mengakui hijrah itu sangat sakit apabila seorang manusia betul-betul istiqamah.

“Saya sebenarnya takut hilang kawan. Balik Makkah saya tengok cermin dan mula potong rambut sedikit demi sedikit. Saya tertekan dan keliru, tapi saya sedar kalau betul nak berubah, saya kena jaga solat.

“Saya kemudian mengurung diri. Emak telefon pun saya tak angkat, saya pernah ambil keputusan nak bunuh diri dan bercakap dengan dinding.

“Parut di badan saya ini bukti betapa hijrah saya itu menyakitkan. Saya takut orang tak nak hijrah kalau dia orang tengok parut di badan saya, tapi inilah hakikat yang perlu dibayar,” katanya.

Katanya, berikutan terlampau tertekan dia cuba mendapatkan beberapa ustaz untuk membimbingnya.

“Saya tanya ustaz apa ciri-ciri munafik. Ustaz itu menjelaskan orang yang suka tipu dan tidak jujur dengan Allah, selain berani mungkir janji,” katanya yang mengakui sekejap kembali ke pangkal jalan sekejap buat balik sepanjang tempoh berhijrah sebelum dia istiqamah.

“Apapun saya bersyukur sekarang. Doa ibu banyak membantu malah saya sudah nekad tinggalkan persekitaran lama dan mulakan hidup baru,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 10:15am
d