utama

Semangat baharu Sufian

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KEMENANGAN lagu Di Matamu dalam kategori Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33), baru-baru ini adalah pelengkap bagi perjalanan lagu itu sepanjang setahun selepas ia dilancarkan.

Kejayaan diraih penya­nyinya, Sufian Suhaimi juga bermakna tamat sudah segala ‘penderitaan’ ditanggung apabila lagu itu dikaitkan dengan kisah putus tunang dengan pelakon, Elfira Loy.

Walaupun apa yang berlaku adalah kebetulan, ia sebenarnya memberikan peluang buat Sufian terutama menerusi lagu itu untuk terus mengukuhkan namanya.

Lebih membanggakan, Di Matamu menjadi lagu Melayu pertama di Malaysia mencatat jumlah tontonan melebihi 50 juta menerusi YouTube.

Tidak hairan jika populariti lagu itu menjadikan ia lagu ‘berhantu’ hingga ada menyifatkan Di Matamu sesuai dijadikan lagu tema putus cinta.

Membiarkan kemenangan dalam AJL33 sebagai memori terindah dalam kerjayanya, Sufian, 27, bakal muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Mencuba yang dianggap lebih segar dan berbeza daripada lagu sebelumnya.

Menurut Sufian, lagu hasil ciptaan bersama Zynakal itu berentak pop rancak bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Lagu ini dihasilkan hujung tahun lalu dan saya memang merancang untuk lancar selepas AJL. Lagu ini jauh berbeza dengan lagu Terakhir dan Di Matamu. Pendek kata, ia bukan lagu merintih.

“Kalau nak kata lagu ‘move on’ pun, boleh juga. Terpulang pada perspektif masing-masing. Pada masa sama, menerusi lagu ini saya ingin memberitahu peminat yang mana kehidupan saya sudah berada pada fasa yang lain, bukan lagi seperti sebelumnya.

“Seperti sebelum ini, orang kata saya masih belum ‘move on’. Walaupun sudah banyak kali saya beritahu, ternyata mesej itu tak sampai. Disebabkan itu, lagu baharu ini jawapannya,” katanya.

Menurut Sufian, lagu itu mewakili semua orang yang sentiasa mencuba untuk menjadikan hubungan mereka berjaya.

“Saya tak pernah kata lagu Di Matamu mengisahkan kehidupan peribadi, tetapi orang berpandangan sedemikian dan kebetulan terjadi episod sedih dalam diri saya.

“Pada masa sama, ramai juga kaitkan lagu itu dengan diri mereka. Jadi, untuk lagu terbaharu ini, terpulang pada peminat. Lagu ini mengisahkan ekspresi perasaan seseorang yang cuba membawa hubungan mereka ke fasa gembira dan bahagia,” katanya.

Seronok berlakon

Siapa sangka Sufian juga berbakat dalam bidang seni lakon selepas muncul dalam telefilem Bayang yang disiarkan TV3 seminggu sebelum AJL.

“Ini kali pertama saya dapat watak utama. Sebelum itu, pernah muncul sebagai penampilan khas saja. Maka, tak banyak babak.

“Saya ‘enjoy’ dapat mencuba sesuatu yang baharu. Saya terima tawaran ini kerana ingin rasa suasana berbeza dalam bekerja. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan dan dalam cerita itu pun saya jadi diri sendiri. Terima kasih kepada pengarah dan semua pelakon yang banyak membantu. Malah, maklum balas positif diterima juga membuatkan saya bersemangat untuk terus mencuba dalam bidang ini,” katanya.

Sufian berkata, lepas telefilem itu, dia terima beberapa tawaran berlakon lain, namun masih dalam perbincangan dengan pihak pengurusan.

“Saya okey sahaja untuk berlakon dan tidak mahu hadkan pembabitan dalam bidang ini. Selagi saya masih relevan dan orang mahu, saya cuba lakukan.

“Mengenai lakonan, jika ada yang sesuai dan kena dengan jadual nyanyian, saya cuba buat. Bagi saya, tidak salah untuk melebarkan bakat ke seni lain,” katanya.

Walaupun mengakui berlakon memenatkan dan tidak semudah disangka, Sufian tetap berasakan ia pengalaman berharga dan manis untuk dirinya.

Unsur khianat

Ditanya mengenai penyebaran beberapa keping gambar membabitkan dirinya dengan seorang wanita seperti yang tular, Sufian menyifatkan ia bermotif khianat.

Sufian berkata, penyebaran gambar itu juga berunsur serangan peribadi apatah lagi ia dimuat naik selepas kemena­ngannya dalam AJL33.

“Saya berasa terkilan dengan perkara ini. Pada masa sama, saya tak terkejut. Saya berasakan ini bukan isu besar dan tak perlu diperbesarkan. Kalau boleh, berhenti beri perhatian pada isu ini. Tak nak ia jadi fokus orang ramai.

“Biarkan ia berlalu begitu saja. Ada perkara lebih gembira ingin dikongsi. Nampak sangat ini lebih berupakan perbuatan khianat,” katanya.

Menurut Sufian, dia tidak mahu lagi ambil peduli dengan apa yang berlaku.

“Lagi dilayan, lagi panjang isu ini. Jadi, cara terbaik adalah baik biarkan saja,” katanya.

Ditanya hubungannya dengan wanita dalam gambar itu, Sufian berkata, antara mereka tidak pernah ada apa-apa.

“Sampai sekarang saya masih solo. Saya berhak untuk berkawan dengan sesiapa,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 6:00am
d