utama

Lelaki xxxxl [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Gua Musang:Panjang dan The Great Khali antara nama panggilan diberikan kepada Mohd Azli Hisyam Ab Ghafar, 25, yang diiktiraf sebagai individu tertinggi oleh Malaysia Book of Records pada 2014 dengan ketinggian 2.11 meter.

Selepas lima tahun, ketinggian Mohd Azli sudah mencecah 2.2 meter dengan berat badan 103 kilogram, sekali gus terus memegang rekod itu sehingga kini.

Wartawan yang menemuinya turut terkejut melihat ketinggian pemuda ini yang melepasi bumbung hadapan kedai makan milik ayahnya.

Ke mana saja Mohd Azli pergi, pasti akan menjadi perhatian ramai dan dia seorang yang cukup peramah serta tidak lekang senyuman di bibirnya setiap kali bertemu dengan orang ramai yang ingin mengambil gambar dengannya.

Bagi Mohd Azli bentuk fizikal luar biasa yang dimilikinya itu adalah anugerah Allah SWT dan dia menerimanya dengan reda.

Biarpun berbeza, anak ketujuh daripada lapan beradik ini tetap mahu dilihat seperti insan normal lain.

“Memang sukar untuk menjalani kehidupan sebagai orang paling tinggi ini kerana berdepan masalah mencari baju terpakai bersaiz XXXXL selain perlu menempah pakaian dan selipar bersaiz 16.

“Nak bergerak pun perlu berhati-hati untuk elakkan kepala terhantuk, malah ketika belajar di Institut Kemahiran Tinggi Bina Negara (IKTBN) Naka, Alor Setar, Kedah, saya perlu menggunakan katil yang dibina khas.

“Namun, dengan ketinggian ini juga memudahkan saya melakukan kerja di tempat tinggi seperti menukar lampu rosak dan mengambil barang tanpa perlu menggunakan tangga,” katanya ketika ditemui kedai makan bapanya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh 3 di sini, baru-baru ini.

Bekas penuntut IKTBN itu berkata, perubahan fizikal itu berlaku ketika berusia 14 tahun apabila ketinggian meningkat sebanyak 20 cm kepada 157 cm berbanding rakan seusia.

“Sejak hari itu, ketinggian saya naik mendadak hampir setiap hari sehingga semua pakaian ‘mengecil’ dan saya menerima pelbagai gelaran namun tidak kisah asalkan ia tidak keterlaluan.

“Dalam keluarga hanya saya yang berbeza berbanding adik-beradik lain. Namun, ibu dan ayah tidak pernah membezakan kami,” katanya.

Azli berkata, hanya pada tahun lalu selepas menjalani pemeriksaan doktor mengesahkan ada ketumbuhan di saraf hormon berdekatan otak yang menyebabkan tumbesarannya berbeza dengan orang lain.

“Alhamdulillah, saya selamat jalani pembedahan membuang ketumbuhan itu di Hospital Sungai Buloh pada Oktober tahun lalu dah masih lagi menjalani rawatan susulan,” katanya.

Katanya, sejak menamatkan pengajian di IKTBN dalam kursus penyaman udara, dia membantu ayahnya di kedai makan kerana belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan.

“Kesan daripada fizikal saya ini, saya tidak mampu buat kerja berat kerana mudah letih selain tidak boleh berdiri lama.”Saya sangat berharap dapat kerja seperti kerani untuk membantu meringankan beban keluarga dan menampung kos perubatan,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 8:02am
d