utama

Demi ibu

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

LELAKI sanggup berhenti kerja sebagai pemandu lori semata-mata mahu menjaga ibunya yang sudah uzur di rumah di Kota Bharu kerana bimbang ditimpa perkara tidak diingini.

Che Ya Awang Teh, 54, yang sudah berpisah dengan isterinya lebih lima tahun lalu, kini menumpukan sepenuh perhatian untuk menguruskan segala keperluan ibunya, Setawa Mamat, 79, yang mempunyai masalah pendengaran.

Che Ya berkata, sebelum ini ibunya itu tinggal bersama abang sulung dan adik bongsunya, manakala dia pula tinggal berasingan kerana sudah berkeluarga.

“Bagaimanapun selepas abang meninggal dunia sejak 15 tahun lalu, hanya adik bongsu yang diharapkan untuk menjaga segala keperluan ibu pada waktu itu.

“Namun umur adik saya tidak panjang apabila dia pula yang meninggal dunia pada tahun 2017 kerana penyakit tibi.

“Saya kemudian mengambil alih tanggunjawab menjaga ibu yang sudah uzur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Gajah Hilir, Kota Bharu, baru-baru ini.

Che Ya berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu lori untuk menyara kehidupan mereka dua beranak kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Setiap kali keluar bekerja, saya tidak senang duduk kerana memikirkan keadaan ibu yang sudah uzur sendirian di rumah, segala makan dan minumnya perlu disediakan.

“Oleh itu, demi ibu, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja sejak dua bulan lalu untuk menjaganya di rumah,”katanya.

Menurutnya, wang simpanan yang ada semakin hari semakin berkurangan menyebabkan dia perlu berjimat cermat.

“Tetapi mujurlah ibu mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang boleh digunakan untuk perbelanjaannya,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 10:45am
d