utama

Wayang Pacak disapa makhluk halus

Oleh Ahmad Ismail

SEGAMAT: Perlu mendaki bukit sejauh lebih dua kilometer sambil memikul projektor dan peralatan selain terpaksa mengelak bertembung dengan gajah liar.

Malah petugas Wayang Gambar Pacak sekitar 70-an dan awal 80-an ini pernah disapa makhluk halus dan hilaian menyeramkan ketika bertugas di kawasan pedalaman.

Itu antara kenangan manis dilalui Pegawai Jabatan Penerangan Segamat, Zainuddin Yusof, 59, yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Luar Bahagian Khidmat Sivik, Jabatan Penerangan di sekitar daerah ini pada awal 80-an.

Katanya, pacuan empat roda dinaiki kerap tersekat di dalam lumpur ketika melalui tanah merah atau gambut untuk sampai ke kawasan penempatan terpencil.

“Mujur ada penduduk atau Orang Asli membantu menolak kenderaan yang dipandu pemandu merangkap Operator Wayang Gambar Pacak,” katanya ketika ditemui di pejabat Penerangan Daerah Segamat di sini, semalam.

Menurutnya, pelbagai pengalaman dialaminya ketika tayangan dilakukan di layar kain putih menggunakan rel filem bersaiz 35 milimiter (mm) serta projektor di kawasan lapang.

“Biasanya saya mendirikan Wayang Pacak ini di 15 penempatan berbeza setiap bulan. Pelbagai filem berunsurkan perpaduan kaum ditayangkan bagi memerangi propaganda pihak yang ingin menggugat keselamatan negara.

“Kami menayangkan filem selama sejam 30 minit berunsurkan perpaduan kaum dan keluarga, keperwiraan, kejayaan pendidikan keluarga, pengorbanan pasukan keselamatan dan kemerdekaan.

“Setiap tayangan biasanya dihadiri 200 penonton dan kami menghentikan tayangan ketika berdurasi 45 minit untuk memberikan ‘iklan’ dengan membuat pemberitahuan mengenai ancaman komunis, pertanian moden, pentingnya menjaga kad pengenalan, menjaga perpaduan kaum dan kesan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Menurutnya, tayangan dimulakan pada jam 9 malam dan berakhir dua jam kemudian.

Setiap tayangan menggunakan generator terutama di kampung tradisional seperti Kampung Sepinang, Kampung Paya Jakas, penempatan orang asli di Kampung Kudung dan Kampung Puting serta ladang getah di Ladang Welch dan Ladang Nagappa di sini.

Menurutnya, sebahagian besar peralatan yang digunakan itu masih disimpan di dalam stor di pejabat.

“Saya terharu apabila setiap kali kami datang dan menyediakan tayangan, penduduk memberikan sokongan. Lebih menarik, apabila kita melihat penduduk pelbagai kaum dan agama boleh berkongsi tikar mengkuang sambil menjaga anak masing-masing.

“Saya puas hati setiap kali melihat penduduk kampung sanggup berkongsi kuih dan makanan ringan sambil menonton filem yang ditayangkan, mungkin disebabkan keadaan ekonomi, mungkin kekurangan hiburan, namun keadaan itu benar-benar menggamit perasaan saya.

“Ada juga penduduk

yang sepakat membawa kerusi kayu untuk digunakan warga emas dan lebih menarik, mereka berkongsi 20 sen untuk mengisi petrol motosikal yang berfungsi bagaikan Grab, membawa penduduk ke lokasi untuk menonton wayang gambar pacak,” katanya.

Menurutnya, antara pengalaman manis ketika menjalankan tugas termasuklah memikul semua peralatan seberat lebih 100 kilogram dan meredah banjir hanya kerana tidak mahu menghampakan penduduk Orang Asli di Labis.

Katanya, bagaimanapun semua tugasan sukar itu berakhir apabila kerajaan memperkenalkan Unit Video Bandar Jabatan Penerangan pada 1988 dan penggunaan teknologi digital selepas itu.

“Apa pun dugaan dan kepayahan yang dilalui, tugas ini juga yang menyatukan saya dengan isteri, Endon Mohamed. Kami berkenalan ketika saya bertugas di kampung Paya Jakas, Jementah, pada 1985.

“Alhamdulillah, hidup kami bahagia dan sepanjang bertugas saya pernah berkhidmat di beberapa daerah dan negeri lain termasuk Mersing, Kota Tinggi, Melaka Tengah sebelum kembali ke Segamat sebagai Pegawai Jabatan Penerangan Daerah pada 2015,” katanya yang mengabadikan lukisan mural berskala besar Wayang Pacak di luar pejabat penerangan.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 6:00am
d