utama

Adib akui dipukul

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli

ANGGOTA bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, ada memberitahu seorang kakitangan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur ketika dirawat di institusi berkenaan, pada akhir tahun lalu, bahawa dia dipukul.

Kakitangan berkenaan yang dikenali sebagai Asyraf adalah antara individu dalam pasukan khas yang memantau secara rapi perkembangan rawatan anggota bomba terbabit.

Saksi ke-14, Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata, Asyraf ada memberitahunya perkara itu beberapa hari selepas Muhammad Adib meninggal dunia.

“Asyraf ada tanya sama ada (Muhammad Adib), ingat apa jadi dan dia (Muhammad Adib) angguk kepala.

“Asyraf tanya ada kena pukul dan Muhammad Adib menganggukkan kepala,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin pada hari ke-9 inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner di Shah Alam.

Dr Mohamed Ezani berkata, dia kemudian menasihatkan kakitangan itu berhubung dengan bahagian guaman IJN untuk langkah seterusnya.

“Bagaimanapun, saya tak ingat sama ada mengemukakan soalan lanjut berhubung perkara itu,” katanya.

Terdahulu, Dr Mohamed Ezani berkata, sepanjang menerima rawatan, dua kali Muhammad Adib pernah ditanya sama ada dia ingat apa yang berlaku kepadanya.

Menurutnya, satu daripadanya, Muhammad Adib ditanya oleh pegawai penyiasat, manakala sekali lagi Dr Mohamed Ezani sendiri bertanyakan kepada mangsa.

“Bagaimanapun, pesakit (Muhammad Adib) hanya menggelengkan kepala,” katanya.

Sementara itu, saksi sama memberitahu bahawa Muhammad Adib dipindahkan dengan berhati-hati dari Ramsay Sime Darby Subang Jaya Medical Center ke IJN pada sebelum tengah malam 27 November 2018.

Katanya, sebaik tiba di IJN, mangsa segera dikejarkan untuk menerima rawatan dengan Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO), mesin khas bagi menyokong paru-paru dan jantung mangsa.

“Keadaan dia ketika dibawa turun dari ambulans adalah sangat kritikal. Kami semua ingat dia akan mengalami serangan jantung. Jadi, pesakit dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 1:59pm
    d