utama

Peminat muda terkejut

Oleh Amirul Haswendy Ashari

SEJAK Zain Hamid, 40, kembali aktif dalam bidang nyanyian bersama kumpulan Ruffedge, ramai menganggap dia akan meninggalkan kerjaya lakonan.

Zain ketika ditemui berkata, dia tetap fokus kepada kedua-dua bidang itu, tetapi komitmen terhadap nyanyian lebih tinggi buat masa ini kerana tawaran persembahan bersama Ruffedge hadir setiap hujung minggu.

“Itu hanya andaian mereka saja dan mereka tidak hubungi saya pun untuk bertanya. Apa yang pasti, saya masih aktif berlakon,” katanya.

Zain kini perlu bijak menyusun masa dengan baik supaya dua bidang itu dapat diseimbangkan. Buat masa ini, dia hanya menerima tawaran berlakon telefilem saja.

“Bukan tidak dapat terima tawaran berlakon drama bersiri, cuma setiap Sabtu dan Ahad, Ruffedge ada jemputan menyanyi. Mereka pun faham komitmen saya terhadap dua bidang ini yang berjalan serentak.

“Malah, sejak kembali menyanyi, ramai peminat terkejut kerana tidak tahu saya juga seorang penyanyi,” katanya.

Antara situasi melucukan apabila peminatnya dalam kalangan generasi muda bertanya pembabitannya dalam bidang nyanyian.

Dia mengakui ada peminat berusia bawah 18 tahun terkejut apabila mendapat tahu dia memang seorang penyanyi.

“Umum tahu ketika ini saya aktif sebagai pelakon berbanding nyanyian. Malah ada antara peminat yang cakap tak sangka ‘uncle’ rupa-rupanya penyanyi.

“Ada antara mereka siap menghantar pesanan dan berkata tidak sangka saya ada kebolehan itu. Saya akan cakap ‘ya, saya menyanyi dulu baru berlakon’,” katanya.

Pelakon drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin dan Keluarga Iskandar ini berkata, disebabkan ramai generasi muda kurang mengenali latar belakangnya sebagai anggota Ruffedge, dia terpaksa memuat naik foto lama ketika aktif menyanyi di laman sosial.

Sejak Ruffedge yang dikenali dengan lagu Tiada Lagi Cinta dan Tipah Tertipu kembali sempena ulang tahun ke-20 baru-baru ini, mereka sudah mengadakan konsert di Singapura dan Kuala Lumpur tahun lalu.

Zain berharap mereka dapat mengadakan konsert di tempat lain pula selepas ini terutama di Sabah dan Sarawak.

Mereka juga ada perancangan untuk mengadakan konsert serupa di utara, pantai timur dan selatan tanah air.

Ditanya sama ada Ruffedge ada perancangan mengadakan konsert di Indonesia, Zain berkata, dia tidak pasti kerana mereka tidak pernah memasuki pasaran Indonesia sebelum ini dan tidak ramai mengenali mereka di sana.

“Bagaimanapun, ada juga beberapa rakan dan peminat dari Jakarta bertanya mengenai Ruffedge. Kalau nak kami pergi sendiri agak sukar. Lebih mudah jika ada wakil di sana,” katanya.

Sejak muncul dengan single terbaru berjudul Seperti Mereka, kumpulan genre R&B Soul ini mendapat pelbagai reaksi menarik daripada peminat.

Katanya, ramai peminat menganggap lagu terbaharu mereka adalah karya yang sudah lama tidak didengar.

Malah, peminat generasi lalu turut memperkenalkan lagu mereka kepada anak mereka.

Pada masa ini, Zain sibuk di lokasi penggambaran filem terbaru berjudul Keluarga Iskandar The Movie yang juga diadaptasi daripada sitkom Keluarga Iskandar.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 5:30am
d