utama

Adib minta telefon bimbit

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli

ANGGOTA bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim, 24, ada meminta telefon bimbit miliknya selepas dia sedar ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN).

Saksi ke-15, Ketua ICU IJN, Datuk Dr Suneta Sulaiman berkata, Muhammad Adib membuat permintaan itu melalui bahasa isyarat tangan selain ditulis di papan putih disebabkan arwah tidak boleh bercakap ketika itu.

“Kami berkomunikasi melalui papan putih dan Muhammad Adib boleh menulis menggunakan tangan kiri,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Zhafran Rahim Hamzan pada hari ke-10 inkues bagi menentukan penyebab kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.

ZHAFRAN : Bagaimanapun keadaan pesakit (Muhammad Adib) ?

DR SUNETA : Adib boleh berkomunikasi menerusi bahasa isyarat dan papan putih saja.

ZHAFRAN : Apa yang dikatakan?

DR SUNETA : Adib menulis di papan putih yang dia mahukan telefon serta membuat bahasa isyarat.

ZHAFRAN : Kemudian?

DR SUNETA : Saya kemudian bertanya kepadanya semula, ‘Adib nak phone?’ dan dia mengangguk.

Menurut Dr Suneta, beliau kemudiannya membincangkan permintaan Muhammad Adib dengan pasukan doktor di IJN yang merawatnya.

“Selepas perbincangan dengan doktor lain, kami kemudian bersetuju dengan permintaan Muhammad Adib, namun dikenakan dengan beberapa syarat.

“Saya memberitahunya bahawa tidak disarankan melihat Internet berikutan ada banyak laporan berhubung insiden kekecohan yang menyebabkan dia berada di hospital,” katanya.

Saksi sama berkata, selain itu, Muhammad Adib hanya dibenarkan menggunakan telefonnya itu untuk bercakap dengan ibu bapa, adik-beradik dan tunangnya selain ada tempoh tertentu bagi menggunakan telefon bimbit itu.

ZHAFRAN : Kemudian?

DR SUNETA : Untuk memberikan telefon bimbit kepadanya, saya beritahu Adib supaya memberikan kerjasama sepanjang tempoh rawatan dengan mengikuti arahan doktor dan jururawat.

ZHAFRAN : Kemudian?

DR SUNETA : Adib bersetuju dengan syarat diberikan dan dia menganggukkan kepalanya tanda faham.

Dalam prosiding itu, Dr Suneta turut memaklumkan bahawa beliau pernah menyoal Muhammad Adib sama ada mengingati apa yang berlaku terhadap dirinya, namun anggota bomba itu menggelengkan kepalanya.

“Antara lain komunikasi saya bersama Muhammad Adib adalah dia tahu dia berada di hospital dan tahu saya adalah doktor yang merawatnya,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya sama ada Muhammad Adib sedar dengan apa yang berlaku atau pun ketika itu mangsa masih berhalusinasi disebabkan ubat sedatif, Dr Suneta menjawab bahawa Muhammad Adib sedar kerana boleh menjawab soalannya dan mengikut arahan yang diberikan.

Dalam perkembangan sama, Dr Suneta ketika disoal Zhafran mengenai keadaan anggota bomba itu ketika kali pertama berjumpa, beliau menjawab pesakit adalah ‘kritikal’.

“Sekiranya dia (Muhammad Adib) tidak membuat rawatan menerusi Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO), sudah tentu dia meninggal dunia lebih awal,” katanya yang kelihatan sebak.

Bercerita lanjut keadaan anggota bomba sepanjang 20 hari menerima rawatan di IJN, beliau memberitahu, keadaan Muhammad Adib semakin tenat tiga hari sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

“Ketika dia dirawat pada hari ke-16 di IJN, Muhammad Adib menunjukkan tanda penat dan pernafasannya semakin laju.

“Selain itu, terdapat karbon dioksida yang sangat tinggi dalam darahnya manakala tekanan darahnya terus rendah,” katanya.

Menurutnya, sejurus ECMO dihentikan, Muhammad Adib mula menunjukkan tanda penat dan pernafasannya laju dan keadaannya itu berlarutan sehingga dia meninggal dunia pada jam 9.41 malam, 17 Disember 2018.

Dr Suneta yang juga pakar bius adalah doktor yang bertanggungjawab menjaga Muhammad Adib selama 20 hari di ICU IJN.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 4:08pm
    d