utama

Aweera selesa berkumpulan

Oleh Norhayati Nordin

MELIHAT lebih ramai penyanyi solo muncul memeriahkan industri muzik tanah air masa kini, Aweera mahu terus bergerak secara berkumpulan.

Walaupun dia juga mampu berdiri di atas platform sebagai penyanyi solo, Aweera berasakan tampil berkumpulan lebih membuat dia selesa.

Aweera sebelum ini pernah menganggotai dua kumpulan iaitu Mojo dan Prime Domestic yang juga proses untuk dia menimba banyak pengalaman.

“Walaupun pembabitan bersama kumpulan berkenaan hanya sekerat jalan, ia tetap satu proses pembelajaran berguna bagi saya. Jadi, berpandukan pengalaman itu, saya kini tampil bersama kumpulan baru yang dikenali Pelita Lusoh,” katanya.

Ditanya makna tersirat di sebalik nama Pelita Lusoh itu, Aweera berkata, kehidupan sebagai selebriti baginya berkait rapat dengan pelita.

“Pelita adalah simbolik sebagai alat salur cahaya yang membawa sinar. Begitu juga kehidupan anak seni selaku penghibur masyarakat.

“Namun, perlu diingat sampai masa ‘pelita bersinar’ itu bila sudah lama pasti akan malap dan lusuh. Sekali gus, tidak ada nilai lagi. Itulah juga situasi sebenar kehidupan seorang penghibur. Tidak selamanya akan bersinar dan ia lumrah yang mesti diakui,” katanya.

Pelita Lusoh kini tampil dengan single berjudul PIL atau Pelita Ini Lusoh ciptaan Aweera dan struktur muzik serta penyusunan lagu dibuat Anep bersama Alan.

Anep juga adalah pemain dram Pelita Lusoh manakala Alan sebagai pemain gitar.

“Selepas 10 tahun berjuang dalam bidang muzik, baru sekarang saya dapat peluang ketengahkan lagu sendiri sebagai single.

“PIL bukan bercirikan tarikan pasaran komersial tetapi ia lebih ke arah karya yang dekat dengan jiwa saya. Saya menghasilkan lagu ini dengan memuatkan jalan cerita tersirat yang begitu dekat dengan realiti kehidupan manusia,” katanya.

Berbicara mengenai gandingannya bersama anggota band baru, Aweera berkata, dia sudah mengenali Anep dan Alan sejak 2005.

“Ketika itu, saya bersama Anep dan Alan menganggotai OTwo Band. Saya juga sebagai pemain gitar kumpulan itu. Disebabkan saya masih remaja, maka tidak boleh menjadi anggota tetap. Namun, pada 2009 saya menyertai program realiti One In A Million pula,” katanya.

Apa yang pasti, selain pasaran tempatan, single PIL bersama Pelita Lusoh dijangka ke luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Jepun.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 5:30am
d