utama

Adib selalu senyum, gemar tunjuk 'thumbs up'

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli

MAHKAMAH Koroner Shah Alam hari ini, diberitahu nama anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, sudah dicadangkan untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, 39, berkata, beliau mencadangkan nama anggota bomba itu disebabkan sikap Muhammad Adib yang disenangi semua orang selain tiada masalah ketika menjalankan tugas.

“Selama empat tahun berkhidmat, Muhammad Adib sering mendapat pujian daripada masyarakat dan pada mas asama, pintu balai kami tidak pernah tutup kepada orang ramai.

“Dia sepatutnya menerima anugerah itu, namun, perkara itu tidak kesampaian kerana Muhammad Adib sudah meninggal dunia,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada hari ke-10 inkues bagi menentukan penyebab kematian Muhammad Adib.

Ketika disoal mengenai Muhammad Adib, Syed Shahril berkata, Muhammad Adib selalu tersenyum dan gemar menunjukkan tanda ‘thumbs up’.

“Kami di sini (BBP Subang Jaya), mengamalkan konsep ‘brotherhood’ dan pegang prinsip ‘Seerat, Serasa, Sehati, Sejiwa’.

“Perhubungan kami amat rapat seperti satu keluarga, Adib sebagai abang kepada junior dan adik kepada senior,” katanya.

Ketika menceritakan mengenai peribadi Muhammad Adib, Syed Shahril menangis dan kemudian ditenangkan Pegawai Pengendali Zhafran Rahim Hamzah yang memberikan saksi ke-18 itu tisu di dalam kandang saksi.

Dalam prosiding itu, saksi sama turut menceritakan kenangan terakhir bersama Muhammad Adib yang berjumpa dengannya bertujuan memohon cuti kahwin yang sepatutnya berlangsung pada Disember lalu.

“Saya kata pada dia, ‘kad kahwin pertama mesti sampai pada saya, barulah saya luluskan cuti dan kami berdua ketawa selepas itu.

“Adib kemudian menjawab ‘tuan kena datang kahwin saya kerana ia penutup 2018 untuk anggota bomba yang akan berkahwin dan kemudian saya berkata supaya dia jangan risau kerana cuti Insya-Allah lulus,” katanya.

Dalam prosiding sama, Syed Shahril berkata, anggota bomba BBP Subang Jaya terganggu berikutan tiada jentera mencukupi selepas dua daripadanya rosak dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, November tahun lalu.

“Dua jentera itu adalah Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang tersadai di balai dan tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS BBP Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding inkues bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 6:57pm
    d