utama

Tangisan setiap Februari

Oleh Ahmad Ismail.

SEGAMAT: “Memori itu datang kembali dengan tangisan waris tidak henti-henti ketika jenazah dikeluarkan dari perut sungai,” ujar pilu Suhaily Saruldin, 43, ibu kepada Allahyarham Aminudin Zamri, 14, yang lemas bersama tujuh rakannya dalam kejadian di Sungai Buloh Kasap di sini.

Menurutnya, tragedi yang berlaku genap lima tahun masih gagal dikikis dari ingatannya sehingga kini setiap kali tiba bulan Februari.

Kejadian tragik itu menggemparkan seluruh negara apabila lapan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap berusia antara 13 hingga 16 tahun ditemui lemas akibat terjatuh ketika beriadah di kawasan itu kira-kira jam 8.30 pagi pada 21 Februari 2014.

Katanya, dia reda dengan ketentuan Ilahi apabila menerima dugaan kehilangan anak kedua yang hilang nyawa dalam episod memilukan itu.

“Selepas tragedi itu, saya amat trauma melihat aliran sungai, apatah lagi pergi ke lokasi kejadian meragut nyawa arwah anak bersama tujuh rakannya di Sungai Buloh Kasap, itu.

“Khamis lalu genap lima tahun kejadian itu berlaku, namun saya cuba gagahkan langkah untuk ke sana dengan ditemani anak sulong, Nurul Amylia Zamri, 21 untuk melihat sendiri air sungai yang dalam. Namun sungai itu kini cetek akibat kemarau panjang,” katanya semalam.

Menurutnya, melihat arus sungai yang tenang selain kini kelihatan dasar sungai berpasir seolah tidak memungkinkan berlakunya kejadian mengerikan itu.

“Namun Tuhan lebih mengetahui akan sesuatu kejadian, ada hikmah di sebalik dugaan diberikan kepada hambanya.

“Masih jelas terbayang ratusan insan yang hadir ketika itu, bahkan tangisan ahli keluarga waris silih berganti sebaik melangkahkan kaki di lokasi sekitar sungai ini.

“Ingatan itu kekal segar. Masih terbayang tiap satu jenazah mangsa dikeluarkan dari dasar sungai oleh pasukan mencari dan menyelamat,” katanya sambil menyapu linangan air mata.

Katanya, surat akuan janji dilakar arwah anaknya itu beberapa tahun sebelum kejadian lemas dijadikan tatapan memori indah harus di kenang.

“Arwah menerusi warkahnya berjanji akan taat, setia dan tidak akan mengulangi kesalahan sama kepada saya. Sebagai seorang ibu kini dan air mata bercucuran setiap kali membacanya.

“Baju-T oren yang dipakai arwah anak berusia 14 tahun ketika lemas, sering saya peluk setiap kali kerinduan itu menjelma. Hanya sedekah ayat suci mampu diberikan kepada anak dan tujuh rakannya yang lain,” katanya.

Suhaily berkata, kehidupan hariannya sebagai penjual kuih donat di sekitar Taman Yayasan di sini, juga turut menguatkan lagi ingatan kepada arwah anaknya itu yang sering membantu menguli tepung.

“Ada kalanya kemunculan arwah anak yang tersenyum manis dalam mimpi sedikit sebanyak mengubat kerinduan terhadap dirinya.

Sementara itu kakak, Nurul Amylia Zamri, 21, berkata, arwah adiknya itu kerap membantunya mengemas serta menjahit tudung yang dipakai setiap hari, selain ringan tangan membantu di dapur sejak berusia 11 tahun lagi.

“Hanya gambar kami berdua ketika di usia 11 dan 12 tahun kini menjadi tatapan bagi saya melepaskan kerinduan selain kerap bersama ahli keluarga menziarahi pusaranya di Tanah Wakaf Perkuburan Islam di FELDA Pemanis di sini,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 7:00am
d