utama

Ratapan pilu ibu bakal pengantin

Oleh Siti Rohana Idris

SEORANG wanita meraung di sisi jasad anak lelakinya yang meninggal dunia selepas kereta dinaiki melanggar tiang laluan bertingkat (flyover) berhampiran lampu isyarat di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, malam ini.

Kejadian 7 malam itu menyebabkan mangsa berusia 20-an yang tersepit dalam keretanya maut di lokasi kejadian, manakala tunangnya cedera.

Ibu mangsa yang tiba di lokasi kejadian terus menerpa ke arah jasad anak sulungnya yang baharu dikeluarkan dari kereta dan diletakkan di atas pengusung.

Wanita terbabit kemudian terpaksa ditenangkan ahli keluarga.

Mangsa yang berasal dari Pasir Pekan, Tumpat, bersama tunangnya yang berusia 20-an menaiki kereta Perodua Myvi sebelum terbabas merempuh tiang berkenaan.

Saksi kejadian, Anis Hafiza Awang, 22, berkata, dia menunggang motosikal menuju ke tempat kerja di Kota Bharu sebelum ternampak kemalangan itu ketika melalui lokasi kejadian.

“Saya ternampak tangan wanita dari tempat duduk penumpang sedang melambai meminta tolong dan terus memberhentikan motosikal.

“Saya segera menghampiri kereta kemek itu sebelum orang ramai membantu mengopak pintu di bahagian penumpang untuk mengeluarkan wanita terbabit

“Saya meriba wanita berkenaan selepas dikeluarkan, manakala pemandu yang juga tunangnya tidak dapat dikeluarkan kerana tersepit dan kami segera menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan mangsa akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi dan baharu selesai menjalani kursus perkahwinan bersama tunangnya.

Tunang mangsa yang cedera di beberapa bahagian badan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut, manakala jenazah mangsa dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Darul Naim, Mohd Ridzuan Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.08 malam dan tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

“Seramai lapan anggota dari BBP Darul Naim dibantu tiga anggota pasukan bomba sukarela (PBS) bergegas ke lokasi.

“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit mengambil masa selama 20 minit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 10:17pm
d