utama

Impian punah

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Harapan untuk melihat Perlis kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana 2019 musnah apabila rayuan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) ditolak Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam.

Keputusan sebulat suara yang dicapai Ahli Lembaga Pengarah MFL itu, sekali gus menyaksikan skuad Singa Utara tiada lagi dalam kalendar perlawanan Liga Perdana musim ini.

MFL dalam kenyataan media berkata, penolakan rayuan itu disebabkan dokumen rayuan yang dikemukakan tidak memenuhi kehendak yang ditetapkan.

Katanya, PFA sepatutnya menyediakan dokumen jumlah wang penajaan dan perancangan masa depan PFA bagi mengukuhkan kewangan.

Menurutnya, Perlis dimaklumkan bahawa surat daripada peguam itu mesti menunjukkan wang berada di dalam akaun dan ia tidak boleh menyatakan bahawa wang akan didepositkan dalam akaun jika rayuan diterima.

“Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan bersama penaja berpotensi Perlis bertemu dengan Sekretariat MFL pada 26 Februari lalu untuk mengemukakan dokumen bertujuan rayuan di mana penaja berpotensi Perlis bersama mereka.

“Dalam mesyuarat itu, Perlis merayu untuk kekal dalam Liga Perdana dan menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk menyertai Liga M3 kerana ia akan membawa kepada penarikan penaja mereka. Selepas mengkaji dokumen yang dikemukakan PFA, surat daripada peguam penaja berpotensi menyatakan bahawa penaja berpotensi hanya akan mendeposit dana penajaan sebanyak RM8,000,000 jika rayuan Perlis dibenarkan.

“Ini jelas tidak memenuhi tuntutan MFL yang mahu dana penaja dimasukkan terlebih dahulu dalam akaun escrow.

Berikutan itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk menolak rayuan Perlis dan keputusan menyingkirkan Singa Utara daripada Liga Perdana 2019 dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan media berasingan, MFL berkata, semua keputusan perlawanan membabitkan Perlis sebelum ini terbatal, sekali gus tiada sebarang mata diberikan kepada pasukan lawan.

“Semua jaringan gol, jumlah mata dan jumlah perlawanan yang sudah berlangsung membabitkan pasukan Perlis akan dikira kosong.

“Namun, kesalahan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP), perkara tatatertib termasuk pengumpulan kad kuning dan perintah keluar padang atau kad merah adalah dikekalkan serta berkuat kuasa seperti biasa.

“Untuk makluman, pasukan Perlis akan dikeluarkan dari senarai jadual perlawanan serta kedudukan liga. Ini bermakna hanya 11 pasukan saja yang akan bertanding sehingga penghujung musim 2019,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 7:00am
d