utama

'Kereta kami turut diserang'

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli

SEORANG lelaki memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam, sekumpulan individu turut menyerang kereta dinaikinya pada insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu.

Chan Wei Jie, 23, berkata, kejadian itu berlaku selepas individu terbabit menyerang jentera Fire Rescue Team (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) menyebabkan kedua-dua kenderaan itu meninggalkan lokasi rusuhan.

Saksi ke-19 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin pada hari ke-12 inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

FATEN: Berapa orang yang mengelilingi kereta kamu?

CHAN: Pada mulanya, mereka meminta kami memberhentikan kenderaan kami, matikan enjin. Ini kerana pakcik saya cuba menghidupkan enjin kereta. Mereka juga menyuruh kami untuk keluar dari kenderaan. Kemudian, saya keluar dari kereta dan membersihkan sisa cermin kereta yang pecah. Saya keluar dan berdiri di tepi jalan.

FATEN: Ketika itu, di mana pakcik kamu?

CHAN: Dalam kereta.

FATEN: Bagaimana dengan orang lain?

CHAN: Mereka masih menjerit-jerit kepada pakcik saya.

FATEN: Apa yang mereka jeritkan?

CHAN: Jalan... berhenti.... turun!

FATEN: Selepas itu?

CHAN: Mula-mula mereka mengelilingi dan menjerit dan selepas pakcik cuba beberapa kali menghidupkan enjin kereta, mereka mula memukul kereta itu dengan tangan dan kayu.

FATEN: Ada orang memanjat kereta itu?

CHAN: Ada seorang lelaki memanjat dari bonet kereta dan ketika itu, pakcik masih ada dalam kereta.

FATEN: Adakah pakcik kamu berjaya keluar dari kereta?

CHAN: Ya.

FATEN: Selepas kamu keluar, mereka masih ketuk kereta itu?

CHAN: Ya.

FATEN: Bila mereka berhenti mengetuk kereta itu?

CHAN: Apabila saya berkomunikasi dengan mereka dan mereka dengar saya bercakap bahasa Mandarin, mereka berhenti ketuk kereta.

Menjawab soalan lain Faten Hadni, saksi sama berkata, selepas itu, dia menyedari beberapa kerosakan pada kereta berkenaan termasuk pada bonet, semua cermin dan lampu depan.

Katanya, selepas itu, mereka masuk semula ke kereta itu dan berjaya menghidupkan enjin, sebelum ada tiga individu membantu untuk memberi laluan supaya kenderaannya dapat meninggalkan lokasi.

FATEN: Apa perasan kamu pada masa itu?

CHAN: Terkejut.

FATEN: Apa lagi perasaan kamu?

CHAN: Saya terfikir macam mana nak beritahu mak saya (berhubung kejadian itu).

FATEN: Ada kamu buat apa-apa menyebabkan mereka mengetuk kereta kamu?

CHAN: Tak.

Saksi itu seterusnya berkata, selepas berjaya meninggalkan lokasi, mereka ke balai polis di USJ 8 untuk membuat laporan.

“Ketika saya sampai di situ, saya melihat jentera dan van bomba tetapi saya tidak pasti sama ada ia adalah kenderaan sama yang terbabit pada insiden rusuhan sebelum itu,” katanya.

Terdahulu, Chan memberitahu mahkamah, dia dan bapa saudara menaiki Perodua Kancil dan dalam perjalanan dari USJ16 ke rumahnya di USJ12 sebelum melihat kejadian rusuhan berkenaan.

Lelaki itu berkata, dia juga ada melihat antara 20 hingga 30 orang menyerang kenderaan bomba dan ada antara individu terbabit yang merakam kejadian.

Katanya, jentera FRT kemudian mengundur dan dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum menyedari keretanya menjadi antara kenderaan dilanggar jentera bomba berkenaan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung 19 Mac ini.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 3:47pm
    d