utama

Dipaksa turun laut

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SEKUMPULAN pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada etnik Rohingya seramai 35 orang perempuan dewasa 26, kanak-kanak lelaki empat dan kanak-kanak perempuan lima dipaksa oleh tekong supaya turun ke dalam laut dan berjalan dalam selut sejauh hampir 500 meter untuk ke pantai.

Tindakan itu dipercayai dilakukan kerana tekong tidak mahu kehadiran bot mereka di kawasan perairan pantai Sungai Belati, Sungai Baru di sini dikesan pihak berkuasa Malaysia, awal pagi semalam.

Malah, tekong dipercayai sindiket penyeludupan migran itu dikatakan terdesak dan perlu menurunkan PATI dibawa dengan segera kerana lagi lama semua mereka berada di dalam bot, lagi banyak risiko terpaksa dihadapi tekong termasuk ditahan pihak berkuasa selain perlu menyediakan makanan.

Perjalanan tekong berkenaan dipercayai dari Cox Bazar, Bangladesh yang mengambil masa lapan hingga 10 hari untuk sampai ke Malaysia.

Difahamkan, tekong terbabit pada mulanya merancang menurunkan PATI berkenaan di sebuah perkampungan tepi pantai di selatan Thailand sebelum diseludup menggunakan lorong tikus ke negara ini.

Tetapi, penduduk kampung di Thailand mengugut akan mengapa-apakan PATI terbabit jika terus mendarat di pantai kampung berkenaan.

Tekong yang tiada pilihan dan terdesak kemudian bertindak menceroboh perairan negara dan meninggalkan PATI berkenaan di pantai Sungai Belati.

Sikap baik hati rakyat dan kerajaan Malaysia juga menyebabkan negara ini menjadi pilihan walaupun sehingga kini sudah ada lebih 200,000 etnik itu di negara ini.

Kemasukan bot asing itu adalah pendaratan ketiga dalam tempoh dua bulan setakat ini yang membawa ratusan etnik sama yang kini sudah bebas berada dalam negara.

Menurut sumber, kehadiran PATI terbabit disedari penduduk kampung yang terdengar bunyi bising dan tangisan kanak-kanak, kira-kira jam 3 pagi.

“Ketika itu, penduduk kampung mahu ke laut dan terlihat mereka berselut serta cuba berjalan ke pantai.

“Kanak-kanak pula didukung ibu bapa mereka sambil menangis.

“Atas rasa simpati, penduduk kemudian memaklumkan kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis sebelum membantu PATI terbabit,” menurut sumber itu.

Sumber berkenaan berkata, PATI berkenaan kemudian diberi makanan dan minuman.

Menurutnya, mereka diberikan roti dan air kotak kerana dilihat dalam keadaan keletihan dan kelaparan. Mungkin lama tidak menjamah makanan di atas bot.

Katanya, semua PATI berkenaan juga tidak dapat berkomunikasi dengan penduduk kampung kerana tidak faham bahasa Melayu.

Kelmarin, akhbar ini mendedahkan kegiatan tekong sindiket pemerdagangan manusia yang mengenakan caj antara RM5,000 sehingga RM16,000 sekepala kepada mana-mana etnik Rohingya yang kini berada di Cox Bazar untuk diseludup masuk ke negara ini.

Sindiket dipercayai menggunakan kapal dagang dan bukan lagi bot nelayan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 8:03am
d