utama

Belai jiwa lagu muda

Oleh Najiy Jefri

Selepas lebih setahun meninggalkan kerjaya penyampai radio, pelawak Shuib kembali mewarnai dunia penyiaran radio namun kali ini bertukar angin ke Hot FM sejak 18 Februari lalu.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad mengaku tidak kekok berada di konti dan bersyukur mendapat sokongan rakan setugas.

Katanya, dia sudah lama menyimpan keinginan untuk bertugas di stesen milik Media Prima Berhad (MPB) itu.

“Tawaran ini datang pada Disember tahun lalu. Alhamdulillah, bergandingan dengan Shuk dan Fizie menerusi segmen Geng Pagi Hot adalah satu pengalaman baharu. Saya tidak kekok sebab baru setahun meninggalkan bidang ini.

“Namun, cabaran kali ini mungkin khalayak sasaran pendengar Hot FM lebih tertumpu kepada generasi muda. Jika dulu di Sinar FM, lingkungan umur pendengar sehingga 35 tahun.

“Apabila bekerja dengan Hot FM, kelompok pendengar berusia antara 15 hingga 29 tahun. Jadi, saya kena tahu aliran dan lagu terkini. Maklumlah, jiwa saya lebih kepada lagu-lagu lama,” katanya.

Tambah Shuib, dia tidak menyangka impiannya untuk bekerja di stesen radio tercapai selepas setahun menguruskan perniagaan madu lebah.

“Selepas setahun mengendalikan perniagaan, saya memang berhajat bekerja di Hot FM. Saya sudah lama menunggu tawaran ini dari Disember lalu. Apabila saya mendapat panggilan bulan lalu, saya terus terima.

“Kali pertama diundang sebagai tetamu segmen itu saya diminta untuk menjadi sebahagian daripada mereka kerana mahu melihat keserasian. Alhamdulillah, pihak pengurusan menyukai gandingan ini dan menawarkan tempat untuk saya,” katanya.

Walaupun anggota kumpulannya iaitu Sepahtu berada di stesen radio lain, Shuib menegaskan tiada istilah bersaing atau siapa hebat.

Kata Shuib, dia mahu menggunakan pengalaman tiga tahun dalam bidang itu dengan sebaik mungkin.

“Saya sudah biasa dibandingkan, ini normal. Ketika di Sinar FM lagi orang bercakap dan membandingkan saya dengan orang lain.

“Lumrah, setiap orang ada perkara disukai. Saya cuba melakukan yang terbaik demi periuk nasi.

“Saya cuma mahu buat kerja dan tak timbul pun isu perbandingan. Apabila melihat ramai rakan pelawak menyertai industri penyiaran, saya jadi bersemangat.

“Malah, hari pertama saya ke udara, rakan dari stesen radio lain menghubungi dan memberikan kata-kata semangat,” katanya.

Mengakui komitmen di konti radio sangat besar, Shuib bagaimanapun berjanji tidak akan meninggalkan program televisyen (TV).

Tidak terikat dengan mana-mana stesen TV memberikan kelebihan kepadanya mengembangkan bakat.

“Sekarang, saya sibuk dengan program Sepahtu Reunion hingga Mei depan. Apabila sudah masuk radio, saya bersikap memilih untuk muncul di kaca TV.

“Namun, bukanlah bermaksud saya akan meninggalkan TV, cuma lebih selektif. Saya tetap terbabit dalam program TV, cuma acara utama saja.

“Ada yang bertanya, apakah tidak timbul isu kerana saya bekerja dengan MPB dan Astro. Hakikatnya tidak ada masalah kerana saya tidak terikat dengan mana-mana stesen TV,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 6:01am
d