utama

Suara hati Sharifah Amani

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Ibarat laungan tidak bersahut, rintihan tidak bersambut, perjuangan Sharifah Amani Syed Zainal Rashid, 32, untuk melihat pelaku seni dilayan adil dan saksama kadang-kala ibarat mencurah air ke daun keladi.

Sebagai manusia, perasaan kecewa, geram, lelah dan penat melayan kerenah pihak bertanggung jawab yang sepatutnya menjadikan bidang seni sebuah lapangan yang aman dan sentosa pasti timbul.

Namun untuk berputus asa, tidak sama sekali atau pernah tertulis dalam diari Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19), Anugerah Skrin 2010 dan 2014 ini.

Sharifah Amani atau mesra membahasakan diri Nani, menganggap banyak lagi cara lain untuk menyuarakan rasa hati mengenai ketidakadilan dalam bidang seni.

“Lakonan itu adalah tanggungjawab. Bayangkan, jika ramai pelakon baru kini yang ada ‘kuasa’ jutaan pengikut di sosial media dapat karya yang tidak berkualiti dan cakap tidak? Pasti produser akan ubah ikut kehendak mereka, tukar penulis skrip.

“Kita ada kuasa untuk ubah dan bersuara dengan membina semula industri ini tapi syaratnya, semua orang kena pikul tanggungjawab masing-masing.

“Kalau semua memikul tanggungjawab dengan keupayaan yang ada, industri seni boleh berubah,” kata Nani.

Bagaimanapun Nani mengakui kebanyakan anak seni tidak boleh berbuat apa-apa sehinggakan sukar menjalani kehidupan yang sempurna.

Katanya, dia bersyukur dilahirkan dan membesar dalam situasi ‘tertentu’ dalam industri seni sehingga sudah melalui banyak perkara.

“Saya sudah sampai tahap tak mahu melalui semua itu lagi dan sekarang sudah penat.

“Memang betul, saya sukar nak bayar bil, hidup selesa atau mewah tapi bagi saya kalau tidak bermula dengan seseorang, ia tidak akan bermula langsung!

“Jadi, saya kena cuba buat juga benda (perjuangan) itu dan membuktikan dengan perbuatan, bukan sekadar cakap kosong,” katanya.

Contoh dilakukan adalah bersuara sekiranya menerima skrip yang disifatkan ‘merepek’ kerana menjadikan bidang lakonan bukan perkara main-main.

Baginya lakonan adalah sesuatu yang sangat besar maknanya, jauh lebih besar berbanding semangat dan jiwanya sendiri.

Nani mahu bercerita dan bukan menjadikan kerjaya lakonan sebagai sebuah pekerjaan semata-mata.

Katanya, kalau mahu menganggap lakonan sebagai pekerjaan, banyak lagi kerja lain boleh dilakukan untuk mendapatkan wang.

“Ini (bidang seni) adalah lebih tinggi daripada itu. Ia adalah tanggung jawab kepada masyarakat, karya, budaya dan kehidupan insan-insan yang berjuang membina sejarah, jadi saya kena lakukan perkara yang betul.

“Saya sudah malas nak berceramah, kalau berceramah nanti orang geram. Jadi, saya hanya hidup dengan cara sendiri dan tunjuk contoh kepada yang lain.

“Saya sudah selesai memaksa orang sebab kalau memaksa, orang akan lari dan saya belajar semua itu. Kita kena ‘bercakap’ dengan mereka, bukan ‘menjerit’ seperti dulu,” katanya.

Dia akur perasaan marah terhadap situasi tidak adil dalam industri tetap ada namun apabila difikirkan semula, tiada faedahnya kerana tidak ramai yang faham.

Disebabkan itu, dia hanya teruskan kerja dan sesekali saja keluar untuk bersuara melalui medium pilihan.

“Saya masih berjuang untuk industri, itupun kalau masih boleh dipanggil ‘industri’.

“Selagi jantung berdegup, saya akan berjuang sebab ramai rakan-rakan dalam industri yang semakin tawar hati dan angkat kaki keluar dari bidang ini.

“Saya tidak mahu seni dan budaya orang Malaysia mati begitu saja disebabkan lambakan budaya luar seperti ‘Tiktok’ atau sebagainya yang saya sendiri tidak faham, kerana budaya kita sangat hebat dan kaya.

Soalnya, apabila masyarakat mengejar budaya ‘segera’ contohnya seperti kontroversi, gosip atau budaya popular, adakah bakat baru yang berada dalam bidang ini untuk jangka masa panjang?

Nani berpendapat, ramai bakat baru sekadar singgah dan pergi serta menggunakan bidang ini untuk meluaskan bisnes serta nama.

Baginya, tindakan itu sangat mengecewakan kerana menyebabkan bidang seni semakin mati, luka dan miskin.

Katanya, jika mereka mahu menjadi pelakon, maka jadilah pelakon dan faham istilah serta tanggungjawabnya, bukan sekadar mahu mencuba itu dan ini.

“Boleh saja nak cuba, tapi kena faham kerana perlu ada ilmu, integriti atau rupa paras elok tapi ia lebih daripada itu,” katanya tegas.

Anak kepada guru lakonan, Cikgu Fatimah Abu Bakar menyifatkan pelakon sepertinya tidak menjual rupa atau diri kerana mereka hanya menjual seni dan bakat dimiliki.

Katanya, insan seni yang serius adalah mereka yang merakam sejarah dan budaya negara melalui karya di layar lebar, televisyen atau teater.

“Saya sedih apabila kerajaan tidak nampak perkara yang kami lakukan ini sesuatu untuk mengekalkan budaya dan seni kita.

“Seolah-olah mereka tidak nampak kami tapi apabila nak dekat pilihan raya, barulah nampak. Ini adalah tidak adil,” katanya.

Namun begitu, dia yang pernah bertemu dengan pemimpin kerajaan dulu dan sekarang membawa isu berkaitan industri seni, akui banyak perbezaan yang berlaku.

“Dari segi mentaliti dan komunikasi, kepimpinan sekarang banyak beza. Apabila bertemu pemimpin ‘Malaysia Baharu’, saya tidak perlu menjelaskan apa masalah industri sebab mereka sudah tahu.

“Tapi yang membuatkan saya ‘mengamuk’ kerana mereka sudah tahu, kenapa masih tiada tindakan diambil untuk menambah baik industri?

“Kalau dulu pula, apabila berjumpa mereka, saya kena jelaskan, lepas itu jumpa orang lain, kena jelaskan sekali lagi. Oleh itu, saya harap pemimpin sekarang lebih cakna dengan nasib anak seni,” katanya.

Nani mendakwa pelan tindakan untuk menambah baik industri seni sudah pun ada namun malangnya tidak digunakan dengan baik dan sekadar menjadi ‘buku kopi’ di atas meja saja.

Pandang jauh ke depan, dia mahukan sebuah ‘Screen Actor’s Guild’ atau Majlis Seni Negara yang boleh menambah baik bidang seni ke tahap lebih tinggi.

Fokus menulis

Nani gembira kerana tahun ini dapat beraksi dalam teater Gold Rain and Hail Stone karya Jit Murat arahan Gavin Yap yang dipentaskan pada 1 sehingga 10 Mac ini di Damansara Performing Art Centre (DPAC), Damansara Perdana.

“Pementasan itu adalah permulaan tahun ini, sekali gus mengubat hati untuk kembali berlakon.

“Selepas ini saya mahu duduk rumah ‘ketuk’ skrip kerana 4 buah karya filem pendek saya sudah pun ditayangkan di Festival Filem Singapura,” katanya.

Menurutnya, dia mahu menyiapkan skrip baru dan mengangkat watak wanita kerana sudah terlalu banyak karya yang hanya didomininasi lelaki.

Dia juga tidak tertekan seandainya karya-karyanya tidak ditayangkan di pawagam kerana banyak lagi platform yang boleh digunakan.

Bercakap mengenai teater yang ditulis pada 1993 oleh Jit, ia adalah kali pertama dipentaskan dengan empat pelakon.

“Sebelum ini hanya Lin Jaafar dan Jit Murat saja yang membawa 16 watak tapi kali ini dibuat dengan empat pelakon dan dibahagikan wataknya sama rata.

“Saya diberitahu, barisan kru dan pelakon dulu pun akan balik dari luar negara untuk menonton, jadi saya sangat gementar!” katanya.

Pementasan itu turut membabitkan pelakon teater hebat popular iaitu Farah Rani, Ghafir Akbar dan Redza Minhat.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 6:30am
d