utama

Terima pencen?

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Selain ratu skuasy, Datuk Nicol David yang bakal menerima pencen dan insentif khas daripada kerajaan apabila bersara Jun ini, sekurang-kurangnya enam atlet ‘luar biasa’ yang bertaraf dunia layak dipertimbangkan untuk menerima layanan serupa.

Mereka ialah ratu bowling, Shalin Zulkifli; jaguh bina badan, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan Lilian Tan; juara silat, Siti Rahmah Mohamed Nasir dan Mohd Al Jufferi Jamari dan pakar boling padang, Siti Zalina Ahmad.

Shalin ialah juara juara Kejohanan Bowling Dunia berpasukan wanita 2003, 2007 dan 2017, juara World Tenpin Masters 2001 dan 20 kali memenangi pingat emas Sukan SEA.

Mohd Syarul Azman pula juara Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2016, 2017 dan 2018 (Mr Universe tiga kali), juara Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia 2015, 2016, 2017 dan 2018 (Mr Asia empat kali) dan juara kebangsaan kategori lightweight 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011.

Lilian yang baru bersara tahun lalu juara Kejohanan Bina dan Sukan Fizik Dunia 2012, 2014, 2016 dan 2018 bagi kategori 55kg ke atas (Mrs Universe empat kali) dan juara Kejohanan Bina dan Sukan Fizik Dunia 2018 kategori wanita terbuka 30 tahun ke atas.

Siti Rahmah juga tidak kurang hebat apabila muncul juara Kejohanan Pencak Silat Dunia 2012, 2014, 2016, 2018 bagi kelas Putri E selain emas Sukan SEA 2015 kelas Putri D dan emas Sukan SEA 2017 kelas Putri E.

Mohd Al Jufferi pula juara di Kejohanan Pencak Silat Dunia 2012, 2015 dan 2016 kelas Putra E, empat emas Sukan SEA pada edisi 2011, 2013, 2015 dan 2017 kelas Putra E, dan perak Sukan Asia 2018 kelas Putra E.

Siti Zalina juga mantap sebagai pemenang emas Sukan Komanwel 2002 dan 2006 acara perseorangan, emas

Piala Dunia Indoor 2015 acara perseorangan, perak Piala Dunia Indoor 2016 acara perseorangan, emas Sukan SEA 2017 acara berpasangan dan emas Sukan Komanwel 2018 acara berpasangan.

Setiausaha Agungnya Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata. bukan saja silat namun atlet sukan lain yang layak seharusnya mendapat ganjaran sama.

“Seperti Datuk Nicol David, sukannya tidak sampai ke Olimpik namun prestasinya adalah luar biasa. Terdapat juga atlet dari sukan lain termasuk silat yang mempunyai Al-Jufferi Jamari (tiga kali juara dunia) dan Siti Rahmah Nasir (empat kali).

“Sukan lain juga ada seperti bina badan, wushu, tenpin bowling dan sebagainya. Mereka semua atlet luar biasa. Kita perlu melihat ‘case by case’, jadi ia boleh diperluaskan manfaat kepada mereka yang dilabel sebagai atlet luar biasa ini,” katanya kepada Arena Metro.

Nada sama turut dikongsi Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt yang menyifatkan ia bakal menarik minat tingi dalam kalangan anak muda untuk terbabit dalam sukan.

“Tiada lagu lain dinyanyikan apabila atlet negara mencapai kejayaan sama ada di Kejohanan Dunia atau Olimpik, hanya Negaraku.

“Saya sokong jika juara dunia turut diberikan pencen. Sesetengah negara seperti China dan Thailand mempunyai insentif menarik untuk atlet mereka yang mencapai kejayaan. Kita perlu bermula kerana ia satu jaminan masa depan,” katanya.

Tidak ketinggalan bowling yang turut tidak ketandusan melahirkan juara dunia seperti atlet berusia 22 tahun, Rafiq Ismail pada 2018 menerusi acara perseorangan.

“Saya menyokong penuh cadangan pencen ini namun perlu berhati-hati dengan kriteria digunakan nanti,” kata Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Dr PS Nathan.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini berkata, Nicol berhak menerima lebih daripada pencen sebagai imbuhan terhadap sumbangannya mengharumkan nama negara.

Cadangan asal pencen diperluaskan kepada atlet yang layak disuarakan Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Adam Daud kepada Arena Metro yang turut mendapat sokongan juara Mr Universe sebanyak tiga kali, Syarul Azman Mahen Abdullah.

Malah pemerhati sukan tempatan, Ahmad Faisal Mohamed Fiah menyifatkan ia boleh dilaksanakan dengan penetapan kriteria tertentu.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 7:30am
d