utama

Penebar roti canai jadi pemaju [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KUALA LUMPUR: Menjual air, potong rumput dan tebar roti canai, antara kerja sambilan dilakukan Mohamad Baba, 65, untuk mencari wang saku membiayai pengajian serta meneruskan usahanya menjadi peniaga berjaya lebih 40 tahun lalu.

Dia mengambil peluang mencari pendapatan sampingan bagi membiayai yuran kelas malam biarpun penat bekerja sebagai kakitangan kerajaan namun kerana tidak mahu hidup susah, segala keletihan itu diharungi sedaya upaya.

Pernah hanya makan biskut dan bubur, keluarganya hidup dalam kesempitan ketika ayahnya meninggal dunia sewaktu masih kecil, menyebabkan dia terpaksa mencari jalan keluar dengan bekerja sambilan dan berhenti sekolah pada usia 15 tahun.

“Ketika itu hidup susah. Saya dan abang terpaksa berhenti sekolah dan menjadi penebar roti canai di Kem Terendak Melaka. Dalam tahun 1970-an, saya ketika itu di ibu negara bekerja sebagai penjawat awam. Gaji ketika itu hanya RM160, lalu saya ambil keputusan berniaga air secara kecil-kecilan selama beberapa tahun.

“Dari situ, timbul keazaman untuk lebih berjaya dalam perniagaan. Saya buat bermacam kerja termasuk mengambil upah memotong rumput dan bekerja sebagai buruh di kilang kayu balak di Jalan Ipoh. Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya ambil menggunakan wang sendiri.

“Selepas tamat tingkatan enam, saya masih berniaga kecil-kecilan dan melanjutkan pelajaran peringkat Diploma Lanjutan Pengurusan Perniagaan untuk memastikan saya berkebolehan di dalam perniagaan. Dengan segala pengalaman dan susah payah, saya kini mempunyai syarikat pemaju hartanah sendiri,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Mohamad berkata, walaupun kini sudah menggaji pekerja, dia tetap turun padang memastikan anak buahnya melakukan kerja dengan baik dan disiplin itu diterapkan sejak mula berniaga pada 1970-an kerana mahu memastikan yang terbaik untuk pelanggan.

“Dalam usia sekarang, saya masih ke lokasi kerja, melawat tapak pembinaan, dan menguruskan beberapa perkara sendiri, tidak hanya tunggu di pejabat dan goyang kaki. Ini semua kerana ketika menjaja di tepi jalan dulu, saya lakukannya sendiri. Jadi, bila sudah ada kakitangan, ia lebih mudah.

“Bukan senang untuk sampai ke tahap ini. Saya juga tidak bergantung kepada mana-mana kontrak pemberian kerajaan. Semuanya saya usahakan sendiri, jadi saya tahu untung dan rugi sebenar. Saya akan sentiasa ingat ketika hidup susah dulu, dan saya rasa semua penjaja dan peniaga melalui pengalaman sama.

“Nasihat saya, pastikan kita ada kemahiran dan ilmu dalam perniagaan. Carilah sebanyak mungkin kerana ia adalah penentu berjaya atau tidak perniagaan. Jika kita berilmu, kita akan tahu ke mana kita nak bawa hala tuju perniagaan kita,” katanya yang kini memegang jawatan Naib Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 10:00am
d