utama

Kecekalan Badiuzzaman dan Syakib [METROTV]

Oleh Roselan Ab Malek

MENGALAMI kecacatan otot sejak lahir tidak dijadikan alasan bagi dua beradik di Kampung Teluk Ira di Temerloh untuk menyerah nasib mereka kepada takdir semata-mata sebaliknya tetap berusaha mencapai kejayaan sama seperti insan lain.

Bagi Muhammad Badiuzzaman Khairil, 25, dan adiknya, Muhammad Syakib Arsallan Khairil, 20, kecacatan mereka itu bagaikan memberi semangat kepada untuk ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi’ dengan orang lain.

Bukan hanya cakap kosong, dua beradik itu kini sedang mengikuti pembelajaran peringkat ijazah di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Kampus Temerloh secara separuh masa.

Muhammad Badiuzzaman berkata, dia mengikuti jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua) (TESL) manakala Muhammad Syakib mengikuti jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Teknologi Maklumat.

Dia yang sememangnya meminati Bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah berkata, dia terpaksa mengikuti kelas secara dalam talian memandangkan dia hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda.

“Jika di rumah saya bergerak dengan mengesot dan menggunakan kerusi roda apabila berada di luar, manakala Syakib mampu berjalan walaupun ada masanya sering terjatuh.

“Oleh sebab itu saya hanya mengikuti kelas secara dan berinteraksi dengan pensyarah serta rakan secara online (atas talian) saja, apabila mahu mengambil peperiksaan barulah saya akan ke kampus,” katanya ketika ditemui, di sini.

Anak sulung dari lima beradik ini berkata, dia menyimpan impian untuk menjadi penterjemah dan sentiasa berusaha keras demi mencapai impiannya itu.

Sementara itu, Muhammad Syakib berkata, sejak kecil lagi dia tidak pernah menjadikan kecacatannya itu sebagai penghalang baginya untuk berjaya sebaliknya menganggap dia seorang yang istimewa.

“Saya mempunyai ibu, bapa serta adik-beradik yang sentiasa memberi semangat dan sokongan moral kepada saya, jadi apa alasan lagi untuk saya tidak berusaha bersungguh-sungguh dan membanggakan mereka.

“Melanjutkan pengajian ke menara gading adalah langkah pertama untuk meraih lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.

Katanya, walaupun kemampuan fizikalnya lebih baik berbanding abangnya namun dia tidak boleh mengangkat benda berat selain mudah terjatuh.

Dia yang berhasrat menjadi pakar IT berkata, dia dibantu rakan sepanjang di kampus dan mereka memahami keterbatasannya untuk bergerak.

Dalam pada itu, bapa mereka, Khairil Abdul Rahim, 58, berkata, dia dan isterinya, Rapeah Rasu, 52, berbangga dengan kecekalan dua beradik itu untuk melanjutkan pengajian ke universiti walaupun mengalami kecacatan otot sejak dilahirkan dan semakin kritikal ketika berusia 13 tahun.

“Saya dan isteri akur dengan ujian Allah ini dan berusaha sedaya-upaya memberikan yang terbaik buat mereka supaya dapat menjalani kehidupan seperti insan normal lain.

“Dahulu ketika Muhammad Badiuzzaman bersekolah di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, kami sanggup menyewa rumah berdekatan sekolah untuk memudahkannya, dia tidak menghampakan kami dengan mendapat keputusan baik iaitu 6A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 5:03pm
d